KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan digesa memohon maaf di atas tindakan samseng, yang dipercayai dilakukan juak-juaknya, terhadap petugas akhbar Tamil Malar Daily.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam sidang media di pejabat akhbar itu hari ini turut menggesa Timbalan Menteri Belia dan Sukan terbabit bertanggungjawab terhadap kejadian itu.
“Sangat jelas, bahawa dia (Saravanan) bertanggungjawab di atas apa yang berlaku semalam.
“Ia adalah tindakan gengsterisme yang bertentangan dengan prinsip Rukunegara. Bagaimana anda boleh jadi timbalan menteri tetapi bertindak bertentangan dengan Rukunegara?
“Rakyat Malaysia mahukan demokrasi. Demokrasi adalah menyakinkan rakyat dengan hujah dan perbahasan, bukannya dengan cara ganas,” tegas Kit Siang.
Kekecohan yang tercetus di pejabat akhbar itu dipercayai mempunyai hubung kait dengan laporan muka hadapan akhbar Tamil Malar Daily mengenai penyelewengan yang dilakukan Saravanan terhadap kutipan wang sewaan ke atas bangunan milik MIC Wilayah.
Saravanan yang berada di lokasi kejadian, semalam, seperti dilaporkan Bernama, bagaimanapun menafikan bahawa dia terlibat dalam insiden keganasan berkenaan.
Selain Presiden MIC, Datuk Seri Dr. Subramaniam, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian berhubung insiden berkenaan.
“Sebelum berangkat ke Rumah Putih, saya gesa supaya Perdana Menteri menyatakan pendirian terhadap insiden keganasan yang berlaku semalam,” ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Prof P Ramasamy dalam kenyataan hari ini berharap pihak berkuasa dapat bertindak secara adil dalam menyiasat kejadian berkenaan.
“Saya difahamkan bahawa laporan polis telah dibuat dan berharap Ketua Polis Negara yang baru akan mengarahkan siasatan dilakukan tanpa pilih kasih dan rasa takut.
“Beliau tidak harus ‘menyembunyikan’ insiden seumpama itu seperti apa yang pernah dilakukan KPN terdahulu,” katanya.
Insiden berkenaan, katanya yang juga Adun Perai, akan mengakibatkan MIC kehilangan sokongan kaum India kerana menggalakkan budaya gengsterisme.
“Semakin lama perdana menteri membiarkan Saravanan terus memegang jawatan timbalan menteri, semakin berkurang keyakinan masyarakat India terhadap pentadbirannya,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, jika benar Tamil Malar Dailymembuat laporan secara berat sebelah, Saravanan harus membawa perkara itu ke mahkamah dan bukan mengarahkan budak suruhannya melakukan keganasan.
“Kebebasan media amat penting dalam sebuah negara demokrasi kerana akan memberi ruang kepada rakyatnya untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan idea.
“Tanpa kebebasan media, rakyat tidak dapat membuat keputusan yang berpengetahuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.