
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi yang menempatkan mangsa di Kampung Bahagia, Sandakan pada 22 April 2026. Foto PMO
SANDAKAN, 22 Apr – Tindakan pantas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan menggantikan dokumen pengenalan diri bagi mangsa kebakaran 1,000 buah rumah di Kampung Bahagia, di sini sacara percuma, menerima reaksi positif malah melegakan mangsa yang kehilangan dokumen berkenaan.
Kehilangan dokumen berkenaan sudah pasti menyulitkan kehidupan mereka apatah lagi hampir kesemua peralatan rumah musnah dijilat api dalam insiden awal pagi Ahad lalu.

Difahamkan ada di kalangan mangsa tidak sempat membawa dokumen berkenaan kerana keutamaan ketika itu ialah menyelamatkan diri dan keluarga terlebih dahulu selain membantu jiran berhampiran keluar dari zon kebakaran.
Ia susulan Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Pendaftaran Negara pula, menyediakan inisiatif penggantian percuma dokumen berkenaan menerusi perkhidmatan bergerak ke lapangan Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR), merangkumi Sijil Kelahiran, MyKid, MyKad, Sijil Kematian dan Sijil Perkahwinan bukan Islam.

Selain itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut menyediakan penggantian pasport bagi mangsa yang terjejas mengikut rekod dalam pangkalan data jabatan itu, juga diganti secara percuma.
Bantuan berkenaan akan diselaraskan bersama agensi terbabit bagi mengesahkan hanya warganegara Malaysia sahaja menikmati kemudahan berkenaan.

Selain bantuan berkenaan, Anwar berkata, sumbangan ihsan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,500 diberikan kepada setiap keluarga melibatkan kira-kira 300 keluarga, dengan anggaran keseluruhan RM450,000.
Bantuan akan disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Terdahulu, Perdana Menteri diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melawat mangsa terjejas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, di sini.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sabah turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga terlibat, manakala Yayasan Kebajikan Sabah menyampaikan bantuan tambahan sebanyak RM1,000.
Anwar berkata Kementerian Pendidikan pula akan menyediakan bantuan khas RM300 bagi setiap anak warganegara Malaysia yang bersekolah, melibatkan 454 murid daripada 12 sekolah.
Di media sosial, pengguna bernama Bye Leeuna pula menulis “Bantulah warga asing wahai pmx.bantu mereka urusan pulang ke negara asal .pmx sangat baik untuk berdiplomasi dengan filipina.perang dah habis,pelarian perlu pulang ke tanah air mereka,” katanya.

No comments:
Post a Comment