Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat bersidang kepada semua pimpinan dan perwakilan UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung bermula hari ini hingga 17 Januari ini.
Menerusi hantaran di media sosial beliau petang ini, Perdana Menteri turut mendoakan persidangan parti komponen Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur itu berlangsung dengan tertib.
“Dalam landskap politik dan ekonomi kian mencabar, kekuatan sebenar tidak lahir daripada perbezaan yang terus dipicu, sebaliknya daripada kesepaduan yang diperkukuh, kebijaksanaan yang diraikan, serta iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.
“Malaysia memerlukan politik matang, berteraskan muafakat, saling menghormati dan keupayaan untuk bekerja bersama demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan lebih adil dan inklusif buat seluruh rakyat.
“Semoga persidangan kali ini berlangsung dengan tertib, penuh wacana bernas berpaksi pada rakyat, serta menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional demi sebuah Malaysia yang madani,” kata Perdana Menteri berserta foto beliau menghadiri Persidangan Agung UMNO 2023.
Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung bermula hari ini selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Seramai 6,412 perwakilan mendaftar melibatkan 2,928 orang bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025, Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita (1,165 orang), Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda (1,173 orang) dan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri (1,146 orang).
No comments:
Post a Comment