Isu ATM: Jemaah Menteri Dimaklum, PM Anwar Terima Baik – Fahmi

 


Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan Kabinet di Angkasapuri pada 14 Januari 2026. Foto Kementerian Komunikasi

PUTRAJAYA, 14 Jan – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penjelasan berhubung isu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), diterima baik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah disampaikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa Mesyuarat Kabinet mingguan di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menjelaskan, isu berkenaan diambil maklum Jemaah Menteri dan beberapa tindakan susulan akan dilakukan, difahamkan akan diperincikan dalam tempoh terdekat.

“Yang Berhormat Menteri Pertahanan telah memberi sedikit taklimat dan memberikan sedikit maklum balas terkini tentang beberapa perkara yang sedang diusahakan yang berkait dengan beberapa isu yang timbul dalam kalangan Angkatan Tentera (ATM).

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan Kabinet di Angkasapuri pada 14 Januari 2026. Foto Kementerian Komunikasi

“Perdana Menteri telah mengambil maklum pandangan serta apa yang telah ditaklimatkan ataupun kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pertahanan semalam dan beberapa perkara yang dimaklumkan pada hari ini insyaAllah tindakannya akan disusuli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Pasca Mesyuarat Kabinet di sini, hari ini setelah bermesyuarat selama kira-kira tiga jam.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan sindiket kartel tender membabitkan pegawai kanan ATM dengan hasil rampasan dianggar jutaan ringgit.

No comments: