Seniwati Datuk Sarimah Ahmad tidak mampu menahan air mata selepas penantiannya selama 36 tahun untuk mendapatkan kembali empat filem beliau daripada sebuah syarikat produksi, akhirnya selesai.
Dalam nada sebak, pelakon legenda tanah air berusia 83 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi yang membantu mendapatkan semula empat filem beliau.
Dia berjaya mendapatkan filem “Dia Ibuku”, “Jejak Bertapak”, “Kabus Tengah Hari”, dan “Detik 12 Malam” yang diambil oleh syarikat produksi terlibat di bawah perjanjian tayangan pada 1989.
Beliau yang sebak juga menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri.
“Saya mengucapkan terima kasih terutama kepada Kerajaan MADANI, khususnya kepada Perdana Menteri kita, saya tak dapat membalas budinya. Cuma Allah saja yang mampu membalas budi beliau (Anwar).
“Saya doakan beliau (Anwar) diberi kekuatan untuk menghadapi segala ujian, saya tak pernah berjumpa berdepan dengan beliau, hanya sekali itu pun kami berselisih ketika saya sedang merakam penggambaran filem,” katanya ketika ditemui di rumah anaknya semalam.
Pada program itu, Teo Nie Ching yang turut hadir telah menyerahkan sumbangan wang tunai dan keperluan asas bagi meringankan beban Sarimah yang kini pulih daripada kanser usus selepas disahkan menghidap penyakit itu pada 2022.
No comments:
Post a Comment