SUNTIKAN DANA AWAM BUKAN UNTUK KEPUASAN PERIBADI.


Ahmad Mohamad Afendi


 Bayangkan, sebagai seorang usahawan yang baru sahaja menerima dana dari agensi kerajaan atau suntikan modal daripada pelabur awam. Adakah ini masa yang sesuai untuk menonjolkan beg tangan mewah atau percutian eksklusif di media sosial?



Nampak glamor, tapi mungkin kita terlupa sesuatu yang penting bahawa dana ini bukan sahaja tanggungjawab kewangan, tetapi juga kepercayaan masyarakat dan pelabur yang mahu melihat bisnes kita berkembang.


Apabila dana awam diberikan kepada kita, ada matlamat besar di sebaliknya adalah bertujuan mengembangkan perniagaan, mencipta peluang pekerjaan, dan menyumbang kepada ekonomi negara.


Maka, setiap ringgit yang dilaburkan datang bersama harapan orang ramai, yang menginginkan kita menggunakan dana ini sebaik mungkin. Melihat kita menonjolkan kemewahan mungkin menimbulkan persepsi yang kurang enak.


Mereka mungkin tertanya, adakah wang ini digunakan untuk kemajuan bisnes atau untuk kepuasan peribadi?


Selain itu, mempamerkan gaya hidup mewah tanpa konteks yang jelas boleh memberi kesan negatif terhadap kredibiliti kita sebagai usahawan. Tindakan ini boleh memberi isyarat yang salah kepada masyarakat dan memberi gambaran kita kurang serius dalam mengembangkan perniagaan.


Apabila masyarakat mula meragui, hilangnya kepercayaan boleh memberi kesan panjang, malah menyebabkan sukar untuk mendapat sokongan pada masa akan datang.


Sebaliknya, usahawan yang berjaya mengekalkan kesederhanaan dan menunjukkan penggunaan dana dengan telus sering mendapat lebih banyak sokongan. Orang ramai mahu melihat bagaimana dana yang dilaburkan memberi kesan langsung kepada perniagaan kita. 


Jadi, adalah lebih baik kita fokus kepada kemajuan bisnes seperti berkongsi kejayaan-kejayaan kecil, pencapaian, dan langkah-langkah yang kita ambil dalam memperkembangkan perniagaan. Ini bukan sahaja menjaga kepercayaan tetapi juga membina reputasi jangka panjang.


Sebagai pengusaha yang menerima geran atau dana awam, ingatlah bahawa kejayaan peribadi sebenar terletak pada bagaimana kita memanfaatkan peluang ini untuk membangunkan perniagaan, bukan sekadar menonjolkan kemewahan.


Dilampirkan gambar usahawan yang berjaya mendapatkan suntikan pelaburan dari Khazanah dan PNB tahun 2018. Gambar diperolehi dari laman muka buku Malaysia Airport tahun 2019.