Qatar, al-Qaradawi, World Cup dan DSAI-Dr Maza

 Qatar, al-Qaradawi, World Cup dan DSAI


Pendekatan Islam Dr Yusuf al-Qaradawi di Qatar ternyata lebih berkesan dan lebih mempertahankan jati diri seorang muslim. World Cup yang sedang berjalan di Qatar menunjukkan Qatar tidak malu menunjukkan diri mereka sebagai masyarakat muslim yang mempertahankan asas-asas Islam yang mereka pegang. Dakwah dan sukan digabungkan. 


Pemerintah Qatar yang berketurunan Bani Tamim, bukan setakat membina Masjid Negara Qatar dengan diberikan nama tokoh agamawan yang dianggap kontroversi yang juga berketurunan Bani Tamim iaitu Masjid al-Imam Muhammad bin Abdul Wahhab, tetapi sanggup mengambil risiko lain yang jauh lebih berani. Pemerintah Qatar sekalipun kecil negaranya juga sanggup mempertahankan Dr Yusuf al-Qaradawi semasa hidupnya walaupun Negara Mesir memburu dan menjatuhkan hukuman mati ke atas beliau. Beberapa negara lain juga mengharamkan al-Qaradawi atas alasan 'ganas' dan di Malaysia beliau dituduh wahabi. Dukacita, terdapat golongan ulama pengampu bersekongkol dengan Pemerintah Mesir dan selainnya dalam hal tersebut. 


Kini, ketika 'angin' Mesir dan Negara-negara Teluk kebanyakannya menuju ke arah normalisasi akidah dengan seakan menganggap semua agama adalah sama dan enggan lagi mempertahankan identiti Islam bahkan menganggap pendekatan al-Qaradawi sebagai pengganas, Qatar tampil membawa mesej Islam di Piala Dunia. Para pendakwah dijemput dari seluruh dunia mengambil kesempatan berdakwah, dan ramai yang menganut Islam. Ternyata Islam yang penuh santun tetapi berprinsip itu berjaya menambat jiwa ramai manusia.


Di Malaysia, PM ke-10 YAB DSAI merupakan orang yang rapat dengan Dr Yusuf al-Qaradawi. Semasa rombongan Perlis berjumpa al-Qaradawi pun, nama DSAI yang awal beliau sebut. Saya harap di bawah YAB PM sekarang pemikiran dan fekah al-Imam Dr Yusuf al-Qaradawi r.h dapat diangkat di Malaysia. Ditabalkan sebagai rujukan dan panduan penting.


Adapun saya masih lagi berhati-hati, melihat dan meneliti perkembangan dalam menentukan pendirian atas apa yang berlaku di negara kita. Semoga rahmat ALLAH sentiasa memayungi negara kita. 


Dr MAZA

Mekah


No comments: