AMBIL IKTIBAR KEGAGALAN 22 BULAN PH SEBELUM INI, SEMUA MENTERI MESTI BERPERANAN TANGANI PERSEPSI KEBENCIAN

  

FAHAMAN KEBENCIAN INI  OLEH KUMPULAN YANG SAMA. KUMPULAN YANG TERMAKAN HASUTAN- WALAUN DAN MACAI. MEREKA DIAM , TETAPI KINI MEREKA BISING. JIKA ANDA BERADA DALAM KELOMPOK KECIL ORGANISASI, ANDA AKAN DAPATI BAHAWA ISU KENAIKAN HARGA BARANG, DAN KENAIKAN LAIN TIDAK DIDEBATKAN.MALAH ADA KETUA JABATAN YANG BERANI BERKEMPEN KEPADA KAKITANGAN UNTUK MEMILIH SIAPA  KETIKA HENDAK MEMBUANG UNDI.BERANINYA MEREKA.


Menjadi kerajaan atau mengetuai kerajaan di era media sosial sudah menjadi media arus perdana seperti sekarang bukan lagi suatu perkara mudah.

Dengan hampir setiap orang mempunyai akaun media sosial masing-masing, bermakna semua mereka seperti mempunyai akhbar dan saluran tv sendiri yang menjadikan kerajaan lebih terdedah kepada kritikan.


Lebih dahsyat kritikan itu kerana media sosial adalah dunia media tanpa pengarang di mana sesiapa saja bebas meluah atau menghantar berita serta video yang disukai tanpa ditapis terlebih dahulu.

Mahu tidak mahu, inilah perubahan yang harus diterima semua dan ia tidak saja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Maka itu, menjadi kerajaan di mana selain tugas utama mengurus negara dan menjaga kepentingan rakyat, di samping pada waktu yang sama harus juga menjawab segala kritikan dan serangan kebencian tanpa henti, ia memang tidak mudah, bahkan hanya mereka yang cekal semangat saja mampu menghadapinya.

Sebab itu, kita lihat, baik kerajaan PH era Tun Mahathir Mohamad, kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Md Yasin dan kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui Ismail Sabri Yaakob, kelemahan paling ketara ketiga-tiga kerajaan itu ialah gagal menangkis segala serangan media sosial dengan mantap dan berkesan.

Sebelum itu, Najib Razak berjaya dijatuhkan pada 2018 juga adalah disebabkan gagal menangkis serangan media sosial yang mempengaruhi minda rakyat.

Dalam banyak keadaan pula, ketiga-ketiga kerajaan selepas 2018 itu hanya berdiam diri dan membisu terhadap segala serangan yang dilemparkan melalui media sosial.

Paling buruk sekali ialah setelah PH menguasai dunia media sosial sehingga mencapai kejayaan pada PRU14 tahun 2018, namun segala-galanya lemah dan sunyi setelah berjaya menjadi kerajaan.

Ketika itu, penguasaan media sosial PH dengan mudah ditenggelamkan oleh kebangkitan sentimen Melayu/Islam yang diterajui melalui kerjasama UMNO dan Pas setelah kedua-duanya menjadi pihak yang kalah pada PRU14 itu.

Meskipun sebahagian kesalahan itu adalah kerana Tun Mahathir sendiri memang berniat mahu “membunuh” masa depan PH, tetapi ramai menteri ketika itubturut hanyut sama daripada melakukan peranan yang sepatutnya.

Untuk beberapa ketika, PH selepas itu terus tenggelam dalam penguasaan media sosial dan hanya bangkit semula setelah Rafizi Ramli kembali ke kancah politik dan seterusnya memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR.

Keterujaan banyak pihak terhadap kembalinya Rafizi, selain beliau sendiri sentiasa bekerja keras membuat pendedahan demi pendedahan menjelang PRU15 sehingga kebangkitan rakyat dapat dirasai, ia adalah resepi bagaimana PH akhirnya mampu kembali menguasai arus media sosial.

Sekarang PH sudah menjadi kerajaan, walaupun dalam bentuk perpaduan bersama BN, GPS, GRS, Warisan dan lain-lainnya.

Minggu-minggu awal ini kita tentunya dapat menyaksikan PN yang ditunjangi Bersatu dan Pas yang kini merupakan blok pembangkang sudah mula kembali dengan serangan berbentuk kebencian terhadap kerajaan yang resepinya tidak lari daripada sentimen kaum dan keagamaan.

Setiap hari ada saja sentimen kebencian ditiupkan, malah pemimpin Pas yang selama ini tidak pernah kedengaran suara mereka, tiba-tiba mula kelihatan petah berbicara.

Sebagaimana PN didapati mewah berbelanja dengan poster, bendera, billboard, jentera yang besar dan gerombolan penyerang melalui tik-tok khususnya menjelang hari pengundian PRU15, dipercayai dana mereka masih belum habis lagi.

Untuk itu, PH dan BN khususnya yang boleh dikira sebagai “pilot dan co pilot” dalam kerajaan perpaduan ini, mereka harus segera bertindak pantas menangani serangan media sosial oleh PN/Pas itu.

Ambillah iktibar daripada kegagalan PH membendung arus penentangan UMNO/Pas selepas PRU14 lalu yang sebahagiannya adalah disebabkan kelekaan mereka yang berjawatan menteri sendiri untuk mengambil tanggungjawab dan memainkan peranan yang sewajarnya.

Kali ini, mereka yang berjawatan menteri, terutama yang bertanggungjawab berkaitan media, harus segera bertindak pantas dan berfikir di luar kotak untuk menangkis serangan serta menangani persepsi buruk yang cuba dimainkan oleh PN/Pas.

Walaupun Rafizi telah berjanji akan memulakan gerak kerja tersebut bermula minggu depan, tetapi jika beliau seorang saja yang aktif dan bekerja keras, percayalah, ia tidak akan ke mana-mana dan mampu menghasilkan sesuatu yang bermakna.

Semua menteri mesti sama-sama memainkan peranan tersebut dan sebaiknya mereka harus ada pasukan media sosial sendiri yang dirangkumkan dengan pasukan lebih besar di peringkat yang lebih tinggi.

Ini bermakna, jika menteri atau kementetian tertentu diserang atau diburukkan persepsinya, pasukan mereka sendiri mampu tampil menangkis, membuat penafian, menjawab dan menyerang balik serangan yang dilakukan itu dengan pantas.

Perkara ini amat mustahak untuk dilakukan, ia bukan saja untuk memastikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan kerajaan pimpinannya dapat melakukan kerja yang terbaik untuk rakyat, lebih penting daripada itu ialah untuk memberi keyakinan kepada rakyat, menjelmakan kestabilan dan seterusnya menjadikan kerajaan ini mampu bertahan dengan lebih lama lagi. – ShahbudinHusin 12/12/2022.


No comments: