Tiada perkataan lain yang sesuai untuk menggambarkan Anwar Ibrahim apabila bertindak tidak berlengah lama untuk membawa usul undi percaya terhadapnya di Parlimen melainkan beliau adalah seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa besar.
Sebaik selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu, menetapkan 19 Disember sebagai tarikh usul undi percaya di Parlimen adalah perkara yang pertama sekali yang dilakukannya.
Ini menunjukkan beliau mahu kedudukannya sebagai Perdana Menteri, selepas dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, mesti segera dibuktikan keabsahannya di Parlimen.
Ia bagi membuktikan majoriti yang dimilikinya adalah jelas dan sahih serta agar tiada lagi pertikaian oleh mana-mana pihak selepas ini.
Beliau sama sekali tidak takut membuktikan majoriti yang dimilikinya, jauh sekali memilih jalan untuk mendaruratkan Parlimen bagi melindungi keabsahannya itu.
Dengan itu, selepas 19 Disember nanti, setelah berjaya melepasi undian usul percaya itu, beliau boleh menumpukan sepenuh tenaga dan perhatiannya dalam mengurus negara, terutama memulihkan banyak kebejatan yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu.
Hari ini, dalam Program Pertemuan Mahabbah bersama Ulama dan Asarizah, Anwar secara terbuka menghuraikan mengapa beliau perlu memilih untuk membenarkan undi percaya itu.
Beliau berkata, usul undi percaya kepadanya adalah bertujuan membolehkan beliau memimpin negara dengan mandat yang jelas dan berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Anwar berkata, beliau menjelaskan perkara itu semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong, baru-baru ini.
“Dari segi undang-undang, ia tidak diperlukan. Pendapat Peguam Negara juga tidak perlu sebab majoritinya jelas dan kuasa Yang di-Pertuan Agong juga jelas.
“Yang di-Pertuan Agong menerima pandangan Peguam Negara (dan) bertanya saya selaku Perdana Menteri, apakah dirasakan perlu usul undi percaya kerana jumlahnya sudah jelas berdasarkan pengakuan daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan beberapa parti kecil lain.
“Saya jawab ‘Ampun Tuanku, ini bukan soal peraturan dan undang-undang sahaja. Perkara ini dibangkitkan dan patik mahu memimpin dengan mandat jelas serta dokongan Ahli-Ahli Parlimen secara majoriti.
“Patik yakin akan memperoleh (sokongan), andai kata gagal memperolehi, patik akan tunduk kepada suara rakyat,” kata Anwar lagi.
Anwar seterusnya berkata, Yang di-Pertuan Agong bersama Raja-Raja Melayu juga memainkan peranan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku selepas PRU15 walaupun dipertikai oleh sesetengah pihak.
Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah dan beberapa Raja Melayu yang sempat ditemuinya bertitah dari awal lagi, baginda semua tidak mempertikai parti yang memperoleh kerusi terbanyak akan diberikan keutamaan dan mandat untuk mentadbir negara.
“Kemudian ada usaha sambilan untuk dapatkan akuan bersumpah dan ini terus berlaku dalam tempoh yang ditetapkan (Yang di-Pertuan) Agong sehingga dua petang.
“Jadi, berapa pun jumlah diperoleh dimuktamadkan dalam waktunya.
“Sepertimana dalam perlumbaan, dia boleh potong kita di pusingan pertama, kita potong dia di pusingan ketiga. Tapi yang pentingnya ialah garis penamat.
“Ternyata saya peroleh jumlah yang besar kerana orang yang beri pengakuan sebelumnya telah menarik balik sebelum dua petang,” kata Anwar memberi huraian.
Perdana Menteri berkata, beliau memilih untuk menjelaskan situasi itu selepas diminta oleh Al-Sultan Abdullah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat terutama berkaitan isu yang boleh menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu.
Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang djadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis ini.
Kesimpulannya, tidakkah kita bangga memiliki Perdana Menteri berjiwa besar dan berani seperti ini?– ShahbudinHusin 11/12/2022.