Melaka Memilih: Bubar DUN dibuat secara terburu-buru - Adly

 


Shuhada Abdul Kadir, Fareez Azman
Melaka Memilih: Bubar DUN dibuat secara terburu-buru - Adly
Adly Zahari berkata tindakan membubarkan DUN adalah tindakan terburu-buru sebelum mendengar pandangan wakil rakyat pembangkang. - Foto BERNAMA
AYER KEROH: Pakatan Harapan Negeri Melaka berpandangan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti dan tidak wajar menasihat Yang di-Pertua Negeri bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, tindakan membubarkan DUN adalah tindakan terburu-buru sebelum mendengar pandangan wakil rakyat pembangkang.
"PH Negeri Melaka berpandangan bahawa Ketua Menteri yang tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti tidak wajar menasihati TYT Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Keempat Belas.
"Khususnya dalam keadaan di mana rakyat masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19, malahan Pilihanraya Negeri Sarawak telah ditangguhkan atas alasan yang sama.
"Ini jelas mempamerkan sikap ketidak bertanggungjawaban Ketua Menteri Kedua Belas," jelasnya.
Tambah Adly, Yang di-Pertua Negeri Melaka juga sewajarnya tidak bertindak terburu-buru dalam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa mendengar pandangan majoriti ADUN.
"TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka juga sewajarnya tidak bertindak terburu-buru membubarkan Dewan Undangan Negeri Keempat Belas, sebelum mendengar pandangan majoriti ADUN (ADUN PH dan 4 ADUN yang tidak lagi bersama Kerajaan).
"Pengumuman Speaker DUN Melaka untuk Kerajaan sedia ada sebagai “caretaker government” juga agak mengelirukan," katanya lagi.
Tambah Adly, PH Melaka berpandangan adalah tidak wajar seorang pemimpin yang telah hilang kepercayaan dibenarkan menjadi Ketua Menteri 'Kerajaan Caretaker'.
Ia jelas Adly lagi, berbeza dengan situasi yang dihadapinya ketika hilang kepercayaan sebagai Ketua Menteri pada Mac 2020.
"Mengambilkira apa yang berlaku pada 2 Mac 2020 sebagai 'precedent case', apabila saya hilang kepercayaan sebagai Ketua Menteri Melaka.
"Tugas pentadbiran Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Ketua Menteri baharu dilantik.
"PH Melaka berpandangan kepada apa yang berlaku mempamerkan bahawa 'norma-norma biasa' tidak dilaksanakan oleh Pentadbiran Tertinggi Negeri dalam menangani krisis politik kali ini," katanya lagi.
Oleh itu, PH ujar Adly akan merujuk kepada mahkamah bagi memastikan keabsashan 'Kerajaan Caretaker' sepertimana diumumkan oleh Speaker DUN pada Selasa.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ayer Keroh pada Rabu.

No comments: