Pengajaran daripada PRN Melaka


DUN Melaka sudah dibubarkan untuk membolehkan Pilihan Raya Negeri diadakan. Ini untuk menyelesaikan krisis politik yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional-Perikatan Nasional tumbang.

Oleh itu jika PRN Melaka dijalankan, ada beberapa pengajaran yang boleh “dipelajari” pihak berkenaan.

Antaranya, Melaka jadi medan ujian pertembungan Umno-Bersatu yang sudah putus hubungan. Natijah pertembungan mereka di Melaka akan menjadi petanda atau isyarat jelas nasib dua parti itu pada PRU15.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sudah mengumumkan Bersatu akan lawan siapa sahaja yang “tidak bersama kami”. Jelas, amaran itu ditujukan kepada Umno yang sekian lama menunjukkan tidak minat untuk bersama Bersatu apabila PRU15 diadakan. Apa terjadi di PRN Melaka boleh dijadikan pedoman untuk PRU 15.

PRN Melaka juga akan tonjolkan keberkesanan Muafakat Nasional. Malah, sama ada MN masih wujud. Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini bila ditanya wartawan mengenai MN menjawab dengan pertanyaan – “ada lagi ke Muafakat Nasional?”.

Pada PRN Melaka kelak, PAS boleh tunjuk bagaimana mahu laksana formulanya yang diumum Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man tempoh hari. Kata Tuan Ibrahim, PAS beri jaminan akan menolong dan mengundi penyandang kerusi sekiranya berlaku pertandingan dua penjuru – Umno dan Bersatu pada PRU15. Justeru, di Melaka, PAS boleh buktikan “keberkesanan” formula ilhamnya.

Bukan mustahil PRN Melaka boleh menampilkan pertandingan Umno-lawan-Bersatu-lawan-PAS-lawan-Pakatan Harapan-lawan-calon bebas. Menarik untuk dipelajari.

PRN Melaka akan memaparkan sejauh mana kawalan terhadap Covid-19 berkesan. Di Sabah dahulu kes Covid-19 melonjak dan wabak menular setelah PRN Sabah diadakan.

Memang ada SOP masa itu tetapi tidak efektif. Tidak dipatuhi dengan baik. Kempen dijalankan seperti biasa seolah-olah tidak ada wabak. Pergaulan dan pergerakan bebas. Akibatnya, Covid-19 menjangkiti ramai. Ini diakui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sendiri baru-baru ini.

“Di Sabah dulu kes sudah rendah tetapi disebabkan PRN Sabah, kes meningkat semula. Justeru rakyat bimbang,” kata Ismail ketika mengulas perkembangan di Melaka. Tetapi ulasan itu dibuat sebelum pembubaran DUN Melaka diumumkan. Ketika rencana ini ditulis, Melaka mencatat 246 kes baharu Covid-19.

Di Melaka kelak bolehlah dilihat sama ada wabak akan melonjak atau tidak. Jika tidak, bukan sahaja PRN Sarawak boleh diadakan tetapi juga PRU15 boleh diadakan dengan “lega , aman, dan tenteram”.

Namun jika wabak Covid 19 mengganas akibat PRN Melaka, sama-sama lah kita berdoa memohon pertolongan Tuhan.

Orang yang mencadangkan PRN diadakan dan orang yang setuju PRN diadakan mesti bertanggungjawab. Tetapi mungkin ketika itu semua sudah terlambat. Sekadar dipertanggunjawab atau mengaku bertanggungjawab sahaja belum cukup. Tidak memadai.

Sebelum pembubaran DUN Melaka diumumkan, Perdana Menteri dilapor berkata beliau (yang memegang jawatan Naib Presiden Umno) menyerahkan kepada Presiden Umno untuk menyelesaikan pergolakan kerajaan Melaka.

Zahid ketika itu mengesyorkan PRN diadakan untuk membolehkan rakyat memutuskan siapa mereka mahu menerajui kerajaan (tetapi setelah DUN diumum bubar Zahid ubah pendirian dan berkata PRN boleh undang bahaya kerana Covid-19 masih ada).

Ismail tidak mahu campur tangan dalam isu DUN Melaka bubar, cuma mengaku rakyat bimbang Covid-19 akan menular. Sehingga kini gambarannya ialah beliau selaku Perdana Menteri tidak berbuat apa-apa untuk menghalang PRN Melaka diadakan. Atau merestuinya.

Oleh itu, PRN Melaka akan melihatkan bagaimana urusan pentadbiran negara dijalankan apabila Perdana Menteri bukan presiden parti. Apa boleh berlaku apabila Perdana Menteri ‘berpeluk tubuh’ pasal hal pilihan raya kerana dalam parti, presiden adalah orang lain, bukan beliau.

Selama ini Perdana Menteri ialah presiden parti yang dominan dalam kalangan parti memerintah. Semasa BN dahulu Perdana Menteri ialah presiden Umno.

Sekarang tidak. Ada pihak bersetuju Perdana Menteri urus hal negara manakala Presiden Umno urus hal parti. Tetapi dalam parti, Ismail duduk bawah Zahid. Oleh itu, Perdana Menteri mesti akur dengan keputusan Zahid. Jika keputusan tepat tidak ada masalah. Masalah timbul jika keputusan presiden dianggap tidak tepat. Atau Perdana Menteri berbeza pendapat.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata ada beberapa dasar kerajaan tidak selaras dengan dasar parti kerana Umno dan kerajaan dua entiti berbeza.

Oleh itu, Melaka beri peluang untuk kita tengok sama ada susunan Perdana Menteri bukan Presiden parti boleh bergerak baik atau sebaliknya.

Satu lagi. Kedudukan Ismail sebagai Perdana Menteri boleh dikira agak selamat hasil MoU dengan Pakatan Harapan baru-baru ini. Pemeteraian MoU itu dicanang sebagai memulihkan kestabilan politik dan PH dikatakan tidak akan mengganggu-gugat Ismail sebagai Perdana Menteri. Buat masa ini?

Tetapi di Melaka, krisis tercetus apabila orang Umno sendiri jatuhkan Ketua Menteri daripada Umno. Umno lawan Umno. Oleh itu Ismail mesti perhatikan keadaan kerana orang parti sendiri pun boleh “buat kacau” bukan hanya pembangkang.

Ismail jadi Perdana Menteri pun hasil sokongan 15 Ahli Parlimen Umno yang berpakat menjatuhkan Muhyiddin Yassin.

Yang perlu dilihat kalau ada musuh dalam selimut dan kalau ada gunting dalam lipatan. Ini boleh susahkan beliau. Boleh gugat kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Di Melaka sudah terbukti. Ketua Menteri daripada Umno diguling orang Umno.

Tentunya, banyak yang boleh dipelajari daripada apa yang telah berlaku dan bakal berlaku di Melaka.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

No comments: