Walaupun simpati, tiada kompromi soal undi percaya terhadap PM bila Parlimen bersambung, kata LGE

 

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata, Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos lalu bertitah agar Perdana Menteri baharu perlu melalui undi percaya di Dewan Rakyat bagi membuktikan sokongan majoriti.

PETALING JAYA: DAP memberi peringatan kepada Perdana Menteri tiada kompromi untuk tidak membentangkan usul undi percaya di Parlimen selepas sidang bersambung semula pada 13 September ini, kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Kata bekas menteri kewangan itu, DAP bagaimanapun memahami penundaan sidang Parlimen seminggu sehingga 13 September ini, susulan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sedang menjalani tempoh kuarantin.

Guan Eng berkata, Perdana Menteri baharu perlu berada di Parlimen ketika undi percaya berlangsung untuk diputuskan Parlimen.

“Perlu diingatkan, Ismail tidak patut lupa apa yang terjadi kepada Perdana Menteri sebelumnya yang dilihat tidak taat secara terbuka sehingga menimbulkan rasa dukacita Tuanku. DAP tidak faham mengapa Ismail enggan mengemukakan usul undi percaya ketika Yang di-Pertuan Agong telah mengumumkan bahawa Ismail mempunyai sokongan 114 Ahli Parlimen.

“Kecuali, Ismail Sabri tidak yakin dengan sokongan penuh dan tidak berbelah bagi daripada Ahli Parlimen Kerajaan. DAP ingin mengingatkan Ismail dengan keras bahawa sebarang kegagalan membentangkan undi percaya dan menentang titah Yang di-Pertuan Agong, akan merosakkan kredibiliti dan kepercayaan terhadap dirinya,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata pada 18 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar Perdana Menteri baharu perlu melalui undi percaya di Dewan Rakyat bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti.

“Sebarang kegagalan Ismail untuk melakukannya akan menjadi penentangan terbuka yang boleh ditafsirkan sebagai penderhakaan disengajakan dan bersikap keras kepala terhadap Titah Diraja, yang akan menjadi permulaan yang tidak baik kepada kepimpinannya sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Katanya, pelantikan Perdana Menteri baharu ketika pertengahan penggal Parlimen akibat kekosongan memerlukan undi percaya bertujuan membuktikan keabsahannya.

“Bagi Ismail Sabri tidak memasukkan usul undi percaya dalam agenda Parlimen adalah tidak berperlembagaan,” katanya.

No comments: