Peluang sama rata, tapi KEADILAN dan Warisan Plus ada kelebihan

 


Calon KEADILAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, Abdul Rahman Yakub berpandangan beliau mempunyai peluang yang sama rata dengan lima calon lain.

 Namun, beliau menganggap KEADILAN dan Warisan Plus mempunyai kelebihan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

 "Peluang semua calon sama, sama-sama ada kekuatan tersendiri. Peluang yang tinggal adalah menarik hati pengundi sama ada mereka boleh mempercayai kita apa yang cuba diperjuangkan, saya fikir itu jadi penentu.

 "Kita berharap mempunyai peluang yang baik untuk memenangi kerusi yang bertanding di bawah parti KEADILAN dengan kerjasama rakan gabungan, peluang itu bertambah baik," katanya.

 Rahman juga mendedahkan bagaimana kesemua enam orang calon termasuk dirinya yang bertanding di DUN Klias mempunyai hubungan keluarga.

 "Boleh dikatakan semua calon ada pertalian keluarga sama ada dekat atau jauh memang ada pertalian antara satu sama lain. Saya sendiri sangat kenal dengan mereka.

 "Dulu orang selalu mengatakan keluarga ramai itu kelebihan tapi dalam konteks kami, keluarga saya keluarga mereka juga, jadi dari segi ini tidak ada kelebihan, pengundi terbuka dan bebas memilih," katanya.

 Pada masa sama, Rahman menganggap keutuhan Warisan Plus akan menjadi faktor utama kemenangan PRN Sabah pada 26 September ini.

 "Di pihak sebelah ada perpecahan ketara rakan komponen bertembung sama sendiri seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) bertembung dengan Umno dan Bersatu padahal satu komponen, ini menunjukkan perpecahan.

 "Sebaliknya Warisan Plus bersetuju menyelesaikan beberapa soalan asas siapa ketua menteri, kita tidak ada perbalahan, kita bersetuju Datuk Seri Shafie Apdal sebagai bakal ketua menteri jika berjaya menjadi kerajaan.

 "Perbezaan ketara apabila Muhyiddin melantik Hajiji, tapi tiba-tiba Zahid pula mengatakan tidak semestinya begitu kita akan bincang.

 "Maknanya mereka tidak bersepakat dan rakyat akan melihat perpecahan ini sebagai satu kelemahan, tidak ada keikhlasan sedangkan Warisan Plus lebih ikhlas dan tidak ada banyak persoalan.

 "Kita mahu supaya kemenangan ini dikongsi bersama bukan kemenangan seorang tapi kemenangan bersama Warisan, Upko, DAP dan Amanah," katanya.

 

No comments: