BEKERJASAMA DENGAN ANWAR ADALAH LEBIH BAIK DEMI SERVIVAL PILITIK UMNO SENDIRI

 

Bukanlah suatu rahsia lagi bahawa apabila Anwar Ibrahim tampil mengadakan sidang media tergemparnya semalam memaklumkan beliau telah mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru, sebahagian yang menyokongnya itu mestilah daripada UMNO.

Pada peringkat awal, diperkatakan jumlah Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar ialah seramai 10 hingga 12 orang.

Disebutkan lagi sokongan itu datang daripada blok Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Ia kemudian diperkukuh dengan kenyataan lunak Zahid Hamidi berhubung rancangan Anwar itu di mana beliau menyebut UMNO tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimennya jika mereka mahu berbuat demikian.

Malah, Zahid Hamidi mengakui beliau dimaklumkan sudah ramai Ahli Parlimen UMNO telah menyatakan sokongan mereka kepada Anwar.

Najib pula seperti menyembunyikan pendiriannya dengan berteka-teki dengan menulis di media sosialnya – Time macam ni kena pastikan bekalan stok cukup – sambil memaparkan gambar pembelian Super Ring, makanan ringan kegemarannya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan sebenarnya terdapat 15 Ahli Parlimen UMNO telah menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri baru menggantikan Muhyiddin Yassin.

Portal itu juga menyebut, dengan sokongan tersebut bermakna kedudukan Muhyiddin sudah pun jatuh dan ini tentunya mengambil kira majoriti yang dimiliki Perdana Menteri di Parlimen sebelum ini hanya sekitar satu atau dua undi saja.

Ada pula maklumat lain daripada UMNO memberitahu, sokongan kepada Anwar itu sudah mencecah kepada 20 orang setakat ini, sambil mengatakan selepas terbentuknya kerajaan baru nanti, semua Ahli Parlimen UMNO akan turut mengalihkan sokongan mereka secara beramai-ramai.

Dalam hal ini, persoalan pertama ialah siapakah 10, 12, 15 atau 20 Ahli Parlimen UMNO tersebut?

Dan persoalan kedua, kenapa mereka mengambil keputusan menyokong Anwar dan meninggalkan Muhyiddin?

Sementara siapakah mereka yang menyokong Anwar itu kekal sebagai misteri sehingga Ketua Pembangkang itu sendiri mendedahkannya secara rasmi kepada Yang Dipertuan Agong dalam acara mengadap yang dijangka akan berlangsung dalam sehari dua ini, keputusan Ahli-Ahli Parlimen UMNO mengalihkan sokongan secara tiba-tiba kepada Anwar tidak kurang menariknya untuk diperhatikan.

Pendirian itu secara umumnya adalah gambaran bahawa UMNO, lebih-lebih lagi jika benar ia melibatkan Zahid Hamidi dan Najib, sudah hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin dan lebih ingin memikirkan survival masa depannya.

Sebenarnya, kerjasama UMNO dengan Anwar dan PH, walaupun ada sedikit pelik terutama kerana ada DAP di dalamnya, tetapi itulah pilihan terbaik dan selamat baginya.

Lagi pun, kalau Pas sudah boleh bekerjasama dan bercium mulut dengan UMNO yang pernah dikafirkannya selama puluhan tahun sebelum ini, apalah sangat setakat UMNO bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan PH yang ada DAP di dalamnya.

Tambahan lagi, UMNO juga sudah biasa bekerjasama dengan MCA, DAP dan Gerakan yang jika difikirkan, semua parti-parti itu tidak banyak berbeza pun dengan DAP.

Bahkan, dengan bekerjasama itu nanti akan memberi ruang kepada UMNO dan DAP untuk saling memahami dan seterusnya melaraskan perjuangan masing-masing demi kepentingan semasa.

Namun, yang lebih penting bagi UMNO ialah apabila ia memutuskan untuk menyokong Anwar dan PH, soal perlunya berbahagi kerusi dengan Bersatu tidak lagi menjadi perkara yang perlu dibangkitkan.

Dengan bekerjasama dengan Anwar, UMNO boleh bertanding di semua kerusi tradisinya tanpa gangguan, manakala PH mengambil kerusi-kerusi campuran yang lain.

Sedemikian itu, UMNO akan kekal sebagai parti Melayu unggul, sambil dapat memastikan Bersatu tidak lagi bernyawa dalam persada politik negara selepas ini.

Pertimbangan ini tentulah jauh lebih baik daripada UMNO terus berunding rumit dengan Bersatu yang pastinya mahu menuntut banyak kerusi Melayu, sedangkan cawangan sendiri tidak banyak mana dan akar umbi langsung tiada.

Daripada membuang masa melayan Bersatu, melawan dan memastikan parti itu berkubur adalah perjuangan yang 100 peratus akan disambut meriah oleh akar umbi UMNO sendiri. (Shahbudindotcom 24/09/2020)

No comments: