JANGAN SAMPAI MAKCIK KIAH MERAJUK



Tamrin Tun Ghafar

Selasa - 31/03/2020
( 1 -  18 )


1.   Sejak dijadikan lambang  yang mewakili rakyat,  khusus yang memerlukan bantuan kewangan oleh Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin, nama Makcik  Kiah sudah menjadi sebutan ramai sehingga katanya ada yang bercadang menamakan anak perempuan yang bakal dilahirkan dengan nama Kiah atau Rokiah.

2.  Pakej Rangsangan Ekonomi yang berjumlah RM250 bilion  adalah merupakan  pakej  ketiga terbesar  di dunia selepas Amerika Syarikat dan  China, diikuti oleh Kanada, Australia, Eropah dan Singapura.

3.  Ini  bukan saja membuktikan  komitmen Kerajaan Perikatan Nasional ( PN )  pimpinan Muhyiddin bagi membantu rakyat yang susah akibat penularan wabak penyakit CORONAVIRUS  atau COVID19  tapi yang tidak kurang  penting  ia juga membuktikan kepada dunia  Malaysia masih punyai kedudukan kewangan atau simpinan yang begitu besar dan kukuh yang boleh dibelanjakan bila - bila masa , dan TANPA  PERLU  mendapat kelulusan Parlimen terlebih dahulu.

4.  Sama ada nama sebenar Makcik Kiah ialah  Rokiah dan sama ada beliau merupakan ibu kepada Dr. Marzuki Mohamad, orang kanan Muhyiddin sendiri, itu tidak penting.

5.  Selesai sahaja Pakej  Rangsangan itu diumumkan, ribuan rakyat  menadah tangan menzahirkan kesyukuran mereka.

6. Suasana kesyukuran ini mengimbau kembali peristiwa di Temerloh apabila Najib, bekas Perdana Menteri ketika itu  mengumumkan rancangan Felda Global Venture ( FGV )   anak syarikat  FELDA  mengapungkan sahamnya, manakala yang memberontak tidak setuju dengan rancangan itu dilabel  sebagai 'Haram Jadah' oleh beliau.

7. Janji Najib setiap  Peneroka Felda akan jadi kaya dan ada yang bakal jadi jutawan  luntur apabila saham FGV  menjunam jauh dari nilai pengapungan sebenar - itulah nasib malang peneroka Felda.

8. Ahli - ahli akademik dan hampir kesemua akhbar termasuk yang berbahasa  Cina dan Tamil  menzahirkan kegembiran mereka di muka  hadapan  dengan segala pujian; apa tidaknya dalam suasana ekonomi di mana 'Dapur Mula Tak Berasap'  hampir majoriti rakyat akan mendapat  sekurang  -  kurang RM4000.00 seorang; rakyat tersenyum lebar  seolah - olah bermimpi berada di taman bunga.

9. Tidak ketinggalan ada juga yang mengatakan Muhyiddin  'The Best Prime Minister Since Merdeka'  atau  'Perdana Menteri Yang Terhebat  Sejak  Merdeka'.

10. Tak sampai seminggu pun sudah  ada komen - komen dan analisa  dari beberapa tokoh dan penulis terkemuka  berhubunan Pakej Rangsangan bagi Makcik Kiah itu.

11. A Kadir Jasin  mengemukakan secara terpinci dan amat mudah difahami umum   jumlah sebenar yang Makcik Kiah akan dapat iaitu HANYA  RM800.00 sahaja  BUKAN  RM4000.00  seperti yang diumumkan oleh Muhyiddin.

11.  Yang hairanya analisa  Kadir DISAHkAN tidak lain tidak bukan oleh Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan yang bertanggungjawab menyediakan pakej tersebut.

12.  Pengesahan atau pengakuannya semasa ditemuramah di Stesen TV baru - baru ini oleh Tengku Zafrul yang dikatakan 'Pakar Kewangan' yang dibawa khas dari CIMB  ke dalam Kabinet ini sudah barang tentu menjadi tajuk perbualan umum.

13.  Rakyat kini terutama kalangan B40  yang pernah mendapat bantuan Kerajaan  melalui beberapa skim mula mengesyaki ada yang tak kena dengan pengumuman tersebut.

14.  i.  Jika Kerajaan begitu yakin mempunyai dana yang cukup mengapa pula pembayaran dicadangkan  diberi secara berperingkat-peringkat:

a)  pembayaran pertama  pada hujung bulan April sedangkan Puasa bermula pada 24hb April ini.

b)  Pembayaran kedua pada bulan Mei berkemungkinan besar selepas Hari Raya.

Rakyat kini TERLALU  perlukan bantuan kewangan  secepat mungkin bukannya seminggu lagi apatah lagi  pada hujung bulan April dan Mei.

ii.  Betulkah Kerajaan mempunyai sumber kewangan sebanyak itu ( RM250 Billion ) sedangkan Petronas yang menjadi penyumbang utama  ekonomi negara kini berada dalam  keadaan AMAT  KRITIKAL?

iii.  Ekoran  penutupan kilang - kilang dan lain - lain perniagaan , sumber kewangan kedua terbesar iaitu  kutipan cukai turut merosot begitu ketara sekali.

iv.  Industri pelancongan  sebagai salah satu sumber negara kini terjejas dengan teruk; MAS, AirAsia, Firefly dan Malindo  TERPAKSA mengurangkan penerbangan, begitu juga  pendapatan hotel , restoran dan lain - lain yang berkaitan.

v. Dalam masa yang sama segala hutang negara termasuk 1MDB  perlu dibayar selain dari gaji kakitangan awam yang berjumlah hampir 1.2 juta serta bayaran pencen untuk pesara.

15.  Rayuan dan suara - suara sumbang  sudah mula kedengaran, namun rakyat masih ternanti - nanti penjelasan dari mulut Muhyiddin sendiri:

i.  Apakah Makcik Kiah akan  dapat RM4000. 00 atau hanya RM800.00 seperti yang disahkan oleh Tengku Zafrul - jika Muhyiddin masih mempertahankan angka yang disebut iaitu RM4000.00  maka ini bermakna Zafrol tidak sepintar yang digambarkan, justeru beliau MESTI  dipecat  serta merta dari Kabinet seperti juga Menteri Kesihatan 'Air Suam' yang juga telah melanggar Akta Kesihatan 1971 kerana mendedahkan nama pesakit Covid19 yang meninggal dunia.

ii.  Jika Muhyiddin 'pusing' atau buat 'u- turn'  ini bermakna beliau seorang Perdana Menteri yang telah menipu rakyat, maka secara gentleman atau anak jantan, beliau HARUS  MELETAKKAN JAWATAN yang disandangnya kini.

16. Lebih buruk, Muhyiddin juga didapati melanggar arahan PKP daripada kerajaan pimpinannya sendiri apabila keluar membeli barangan dapur di sebuah pasaraya pada Ahad lalu bersama isterinya, sedangkan peraturan hanya membenarkan ketua keluarga saja keluar membeli-belah.

17. Itulah akibatnya  apabila 
' Yang Kalah Jadi
  Kerajaan,  Yang Menang Jadi
  Pembangkang'.

18. Jangan sampai Makcik Kiah merajuk kerana akibatnya akan diterjemahkan pada PRU ke15 nanti.

Wassalam
Terima Kasih.