shahbudin.com
Dalam
usaha mempertahankan dirinya daripada serangan terbaru oleh Wall Street
Journal (WSJ) yang mengaitkan dirinya dengan pengambilan dana 1MDB
berjumlah hampir AS$700 juta, Perdana Menteri secara terbuka menuduh Tun
Mahathir Mohamad adalah dalang di sebaliknya.
Sambil
mengatakan tidak pernah mengambil sebarang dana untuk kepentingan
peribadi sama ada dari 1MDB, SRC International atau mana-mana entiti
yang lain, Najib Razak mengatakan dakwaan terbaru ini adalah serangan
yang tidak berasas dan keterlaluan terhadap diri dan keluarganya.
Katanya,
serangan itu bermula apabila beliau enggan memenuhi beberapa tuntutan
peribadi Tun Mahathir yang kemudian membuatkan bekas Perdana Menteri itu
mencipta krisis berhubung hutang 1MDB yang berjumlah RM42 bilion.
Sehubungan
itu, Najib percaya bahawa Tun Mahathir, dengan kerjasama rakyat asing,
termasuk Sarawak Report, adalah di belakang pembohongan terbaru ini.
Serentak
dengan itu, beliau juga mengancam untuk mengambil tindakan
undang-undang sepenuhnya terhadap pengkritik yang mendakwanya mencuri
wang negara itu.
Pihak
yang melancarkan serangan ini patut berdepan dengan tindakan akibat
dakwaan yang dilakukan itu. Taktik kotor ini, sesetengahnya berunsur
jenayah untuk menggulingkan kerajaan, akan menemui kegagalan, katanya
dalam jawapan melalui Facebooknya malam tadi.
Bagaimanapun
sehingga ini tidak dipastikan siapakah yang bakal diambil tindakan
undang-undang itu? Adakah ianya WSJ? Adakah ia Sarawak Report yang
sebelum ini banyak melakukan serangan terhadapnya dan didakwa
bekerjasama dengan WSJ itu?
Atau
adakah saman itu akan diambil terhadap "tok dalang" bernama Tun
Mahathir yang dituduhnya secara terbuka memainkan peranan di belakang
tabir serangan terbaru ini?
Melalui
kenyataan yang dipetik dalam Sinar Harian oleh Setiausaha Politik
Perdana Menteri, Khairun Aseh, beliau hanya menyatakan bahawa Najib akan
mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ berikutan laporannya yang
didakwa bersifat jenayah fitnah, berniat jahat dan tidak berasas dengan
sumber yang lemah serta meragukan.
Tidak
pula disebut tindakan undang-undang akan diambil terhadap Tun Mahathir
sedangkan jika Najib sudah berani menuduh bekas Perdana Menteri selama
22 tahun sebagai dalangnya, sudah tentulah beliau mempunyai bukti
terhadap tuduhan yang dibuatnya itu
Apakah
tuduhan bahawa Tun Mahathir sebagai dalang itu disertakan dengan bukti
yang kukuh atau sekadar khayalan Najib dengan sumber yang lemah dan
meragukan juga?
Jika
benar Najib mempunyai bukti mengenai peranan atau penglibatan Tun
Mahathir sebagai dalang dalam laporan WSJ itu, sudah tentulah "tok
dalang" itu perlu diambil tindakan undang-undang terlebih dahulu
berbanding WSJ atau Sarawak Report.
Sama
sekali tidak berguna jika hanya mengambil tindakan undang-undang
terhadap WSJ tetapi dalang yang dikenalpasti dibiarkan lepas bebas
begitu saja.
Dengan
membiarkan lepas bebas dan tidak diambil sebarahg tindakan, "tok
dalang" boleh terus mencari panggung lain untuk memainkan peranan di
belakang tabirnya.