
Rafizi dan Desmond Lee ketika majlis MoU mengenai JS-SEZ di Johor Bahru pada 11 Januari 2024. Rafizi mungkin berundur sebagai Menteri Ekonomi tidak lama lagi.
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Rafizi Ramli sekali lagi memberi bayangan bersedia berundur dari Kabinet dengan menyatakan perkhidmatannya sebagai Menteri Ekonomi mungkin tidak akan lama.
Beliau menyatakan perkara itu ketika menekankan bahawa kesinambungan sesuatu dasar tidak seharusnya bergantung kepada pentadbiran semasa atau kehendak peribadi ahli politik tertentu.
“Kehadiran saya di sini bersifat sementara, dan akhirnya akan ada menteri ekonomi lain yang menggantikan saya.
“Namun apa yang saya ingin tegaskan ialah, kesinambungan dasar tidak seharusnya bergantung kepada pentadbiran semasa atau kehendak peribadi ahli politik tertentu,” katanya ketika berucap pada Persidangan Rakan Kongsi Perniagaan dan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), di sini, hari ini.
Bayangan itu disuarakan dipercayai ada kaitan dengan perjalanan pemilihan parti KEADILAN 2025 yang menyaksikan ramai pimpinan kanannya kalah di cabang dan beliau sendiri ditentang anak Presiden, Nurul Izzah Anwar bagi jawatan nombor dua parti.

No comments:
Post a Comment