PUTRAJAYA, 2 Jan – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Pengerusi DAP, Lim Guan Eng untuk tidak menyinggung mana-mana parti yang bersama membentuk kerajaan ketika ini.
Presiden UMNO itu berkata, perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku dan setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan harus diberi kepercayaan untuk bersama mengemudi kerajaan.
“Zaman beliau (pimpin DAP) telah berlalu…berilah kepercayaan kepada kepimpinan DAP yang ada sekarang ini…jangan nak menyiku mana-mana sahabat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Guan Eng yang memberi amaran bahawa kerjasama UMNO dan Pas dalam perhimpunan solidariti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh menimbulkan keraguan terhadap kedudukan dalam kerajaan.
Guan Eng berkata, ia termasuk perhimpunan solidariti atau demonstrasi terutama himpunan aman tanda solidariti kepada Najib pada Isnin ini.