Fathi Aris Omar
Ramai orang terkejut, khususnya dari luar PAS. Sementara penyokong PAS akan terus kagum dan yakin pada kenyataan terkini TS Abdul Hadi Awang.
Hakikatnya tiada yang baharu atau berbeza daripada keyakinan presiden PAS dalam Amanat Hadi yang diucap di Banggol Peradong lebih 40 tahun lepas.
Sesiapa yang hidup bersama/dekat PAS, ideologi jemaah Islam, mengikuti kuliah/ceramah dan politik Terengganu pada 1980-an pasti akan jelas jalur berfikir Minda Presiden kali ini.
Dengan kata lain, kenyataan terkini Hadi yang bertajuk "Dosa sekularisme lebih besar dari fitnah dan membunuh" hanyalah satu huraian daripada Amanat Hadi, sebahagian ucapannya di sebuah kampung tidak jauh dari pekan Manir pada 1981.
Namun begitu, kalau kita teliti betul-betul teks tersebut, kita akan perasan Hadi tidak berminat sangat menghuraikan sekularisme atau masalah sama ada Malaysia negara sekular atau tidak.
Apa buktinya? Senang sahaja, Hadi tidak mengutip beberapa lagi ayat al-Quran misalnya surah al-Maidah tentang hukum.
Surah ini, dan beberapa ayat lain, yang digemari penceramah PAS untuk mengatakan (secara sindiran) kerajaan (baca: Umno) tidak berhukum dengan hukum Islam.
Pada agakan saya, Hadi lebih berminat memujuk penyokong PAS agar ramai-ramai berpakat membayar saman tiga pemimpin DAP.
Sebab itu naratifnya seringkas ini sahaja: DAP hendak pertahankan sekularisme; sekularisme itu syirik yang paling besar (lebih besar daripada fitnah dan bunuh), DAP terima ahli ateis, liberal dan komunis; maka ... marilah kita pertahankan wakil rakyat kita fitnah DAP!
Saya agak di situlah inti Minda Presiden kali ini. Sebab penyokong PAS yang rasional dan berakal pasti keberatan untuk menampung kos ratusan ribu ringgit itu. Walau mursyidul am PAS sudah berhujah "tidak salah" derma tetapi nampaknya hujah ustaz Hashim Jasin masih diragui orang parti sendiri.
Maka, untuk itu, Hadi perlu bantu yakinkan perjuangan mengutip derma bagi membayar saman. Selagi Hadi berhujah begini, selagi itulah tabiat cakap lepas, cakap tanpa usul periksa, atau sedap mulut tanpa fakta akan membiak dalam PAS.
Tetapi, yalah, seperti kes PAS saman Sarawak Report dan Clare Rewcastle-Brown. Asalnya Hadi saman, konon hendak menafikan PAS terima dana 1MDB.
Sudahnya bayar RM1,422,980 kepada editor portal tersebut. Bayangkan, PAS saman, PAS yang bayar! Jadi setakat bayar RM825,000 kepada tiga bekas sahabat PAS ini bukanlah besar sangat.