Salam MADANI, Dr. Rafidah Abdullah dan rakan-rakan seperjuangan


DR ZULKIFLI. MENTERI KKM


Saya mendengar segala luahan dan pandangan daripada Dr. Rafidah dan rakan-rakan doktor yang lain. Saya akui dan sedari sepenuhnya bahawa KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA #KKM kekurangan kakitangan.




Manakala dalam itu, sesetengah warga KKM juga terpaksa menanggung bebanan tugas lebih daripada rakan-rakan yang lain. Saya pastinya tidak pernah dan tidak akan menafikan situasi ini.


Namun, walau dengan segala kekangan yang wujud hari ini, saya akan pastikan bahawa semua isu yang dihadapi oleh warga KKM di lapangan akan ditangani dalam penggal kedua saya sebagai Menteri Kesihatan.


KKM juga tidak memandang enteng mengenai lebih 6,000 doktor yang telah meletak jawatan sepanjang 5 tahun yang lepas. Penting untuk diambil perhatian bahawa angka ini termasuk 3,200 pegawai perubatan (MO) kontrak yang meletak jawatan untuk beralih ke jawatan tetap kerana ini adalah sebahagian daripada prosedur yang ditetapkan.


Selain itu, sesetengah doktor telah beralih ke bidang akademik, dan dalam berbuat demikian, masih menyumbang kepada pengukuhan sektor kesihatan awam. Namun begitu, ketirisan bakat kekal menjadi cabaran yang signifikan dalam semua industri, termasuk sektor kesihatan.


Walaupun diakui bahawa KKM tidak dapat menghalang MO dan pakar perubatan daripada berhijrah ke sektor swasta, kita telah melaksanakan beberapa strategi untuk mengekalkan mereka dalam sektor awam.


Dalam jangka sederhana, dengan inisiatif Rakan KKM Partnership’, kita akan saksikan beberapa perubahan. Prospek ganjaran yang lebih baik dan fasiliti kesihatan yang dinaik taraf - yang bakal dicapai melalui subsidi silang oleh pendapatan baru daripada 'perkhidmatan ekonomi premium ‘#RakanKKM' - diharapkan dapat meningkatkan insentif untuk mereka kekal dalam sektor awam.


Langkah jangka pendek termasuk kenaikan dan pelarasan gaji, jadual kerja yang lebih anjal, dan membenarkan amalan lokum. KKM terus komited untuk meningkatkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan, dan serta kebajikan profesional perubatan seluruhnya.


Mengenai situasi di Hospital Seri Manjung, KKM melalui kerjasama Bahagian Sumber Manusia (BSM) akan mengagihkan lebih banyak MO ke jabatan-jabatan yang kritikal. Ini adalah tugas yang mencabar, tetapi perlu dibuat agar tahap tenaga kerja dapat menampung keperluan semasa.


Untuk makluman jua, terdapat peningkatan pengagihan MO ke semua fasiliti KKM setiap tahun, dan sebuah kohort baharu MO baru sahaja diagihkan pada minggu lepas. Oleh itu, Hospital Seri Manjung juga akan segera menerima tambahan kakitangan perubatan. 


Cabaran ini juga bukan terhad kepada Hospital Seri Manjung sahaja, namun dihadapi di seluruh negara. Oleh itu, KKM akan berusaha sedaya-upaya untuk menangani keperluan mendesak ini.


Saya komited untuk bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk membantu KKM mengatasi cabaran-cabaran ini. Namun, terdapat beberapa aspek sememangnya berada di luar bidang kuasa KKM. Oleh itu, KKM sentiasa melibatkan JPA dan agensi-agensi lain untuk memastikan isu-isu ini diselesaikan dengan berkesan dan murni.


Selain itu, saya kekal komited untuk merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan, iaitu suatu reformasi yang kami janjikan dari zaman awal ‘Reformasi’. Saya percaya umum tahu bahawa pelbagai rintangan harus dilalui sebelum kita dapat tiba ke destinasi ini.


Seluruh aspirasi ini adalah selaras dengan Kertas Putih Kesihatan. Inisiatif-inisiatif yang dibentangkan juga adalah bukti komitmen jangka panjang saya dan pasukan untuk menangani dan menyelesaikan isu-isu sistemik dalam sektor kesihatan.


Suka untuk saya nyatakan bahawa tugas yang begitu sukar dan berat ini memerlukan penglibatan, sumbangan dan kerjasama semua pihak.


Hakikatnya, saya memerlukan Dr. Rafidah dan rakan-rakan profesional kesihatan yang berkongsi aspirasi yang sama untuk kita sama-sama meneruskan perjuangan ini.


Ribuan terima kasih daripada saya untuk semua.