PM Anwar Ingatkan Lepas PH Menang Jangan Hukum Najib

 

Hantaran Kamil Munim di X pada Sabtu.

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Setiausaha Politik Perdana Menteri Muhammad Kamil Abdul Munim menafikan dakwaan Ketua Penerangan Parti Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali berhubung pendakwaan kes mahkamah melibatkan ahli politik pada 2018.

Ini selepas Rafique mempersoalkan mengapa Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak membangkitkan isu mengenai “pendakwaan tergesa-gesa” berkenaan.

“Tuduh Anwar diam ketika Dr Mahathir (Mohamad) rakus balas dendam kepada Najib (Razak) buktikan Rafique mudah lupa.

“Minggu pertama kemenangan PH, Anwar ingatkan untuk tidak balas dendam kepada Najib.

“Anwar juga ingatkan kerajaan ketika itu untuk turuti proses keadilan dan jalur hukum. Ini kenyataan dan teguran yang dibuat secara terbuka. Ia bukan hal yang baru,” katanya dalam hantaran X, semalam.

Rafique sebelum ini mengulas kenyataan Anwar yang menyifatkan beberapa kes berprofil tinggi ketika itu “cacat” akibat pendakwaan yang “tergesa-gesa dan bermotifkan politik dendam”.

“Mengapa sekarang? Mengapa berdiam diri sejak 2018?” soal Rafique.

Bagaimanapun, Kamil mempertahankan Anwar dengan berkata dia kekal konsisten memperjuangkan prinsip keadilan dan kebebasan institusi kehakiman.

“Marah kita, benci kita jangan menyebabkan kita tinggal landasan hukum. Negara ini ada hukum dan kita berjuang untuk tegakkan negara hukum, bukan hukum rimba,” katanya lagi.

Sebelum ini, Anwar menyifatkan beberapa pendakwaan berprofil tinggi pada 2018 dilakukan secara “tergesa-gesa” dan dicemari oleh “racun dan permusuhan.”

Anwar mengulas tentang pembebasan isteri Najib, Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram, sambil menegaskan dia tiada apa-apa penglibatan dalam keputusan mahkamah tersebut.

“Anda juga perlu tahu pada masa itu, pendakwaan dilakukan dengan tergesa-gesa, (dengan) racun, permusuhan dan dendam politik oleh pihak yang berkuasa ketika itu, sehingga banyak pendakwaan ada kelemahan,” katanya.

Rosmah dibebaskan daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).