Tatakelola, Basmi Rasuah Jadi Keutamaan Kerajaan MADANI Tahun Depan – PM Anwar

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan berkaitan kerajaan dan isu semasa dalam sidang media yang diadakan di Subang Jaya pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

SUBANG JAYA, 21 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen meletakkan keutamaan dalam aspek tatakelola dan pembasmian amalan rasuah melalui pentadbiran kerajaan MADANI sepanjang 2025 nanti.

Jelas Perdana Menteri, dalam fokus penekanan dua isu utama itu, beliau mengakui ia tidak boleh dilakukan dalam tempoh singkat sebaliknya memerlukan masa untuk agenda reformasi terbabit menampakkan hasil.

Beliau mengakui mungkin pendekatan itu tidak disenangi segelintir pihak, namun bertekad meneruskan agenda berkenaan dalam usaha memulihkan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan berkaitan kerajaan dan isu semasa dalam sidang media yang diadakan di Subang Jaya pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Apa keutamaan 2025? Keutamaan saya sebut sebentar tadi ialah isu tatakelola kerana kita merosot sejak sekian lama, prestasi kerja dan rasuah yang mana orang anggap perkara biasa.

“Ini bukan saja dalam kerajaan, tetapi juga rakyat, anggap isu rasuah sebagai kecil…(ada yang anggap) jadi menteri jadi kaya, apa salah kaya? (Jadi) saya tekankan tatakelola walaupun tidak disenangi setengah pihak.

“Saya kira ini mesti dibetulkan, tiada kira siapa kamu, menteri, ketua jabatan mesti cakap tidak boleh (rasuah). Tindakan harus diambil,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan berkaitan kerajaan dan isu semasa dalam sidang media yang diadakan di Subang Jaya pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, semua pihak harus memahami pengasingan kuasa antara tiga cabang antara badan kehakiman, eksekutif dan perundangan yang mana Perdana Menteri boleh tidak mencampuri sebarang keputusan mahkamah.

Malah, beliau menegaskan pihaknya tidak pernah mencampuri sebarang urusan kehakiman sejak dua tahun mentadbir kerajaan.

“Sebagai Perdana Menteri, saya mesti berhati-hati dengan apa yang diperkatakan. Biarkan mahkamah tentukan. Saya ada pandangan sendiri, tetapi tidak boleh campur tangan,” katanya yang merujuk beberapa keputusan mahkamah membabitkan individu tertentu.