ERTINYA AHLI2 PARLIMEN PN KINI BOLEH DATANG SECARA INDIVIDU KEPADA KERAJAAN UNTUK BINCANG SOAL PERUNTUKAN


Sebagai reaksi kepada kenyataan Ketua Whip PN, Takiyuddin Hasan yang menegaskan pihaknya telah menghentikan rundingan dengan pihak kerajaan bagi membincangkan soal peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen blok pembangkang, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mahu mereka terus mengadakan perbincangan.


Katanya, mereka perlu terus mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri ll, Fadillah Yusof berhubung permohonan peruntukan bagi kawasan Parlimen masing-masing.


“Bincang dengan TPM Fadillah,” katanya ringkas.


Ditanya tentang dakwaan Takiyuddin bahawa ada syarat yang perlu dipatuhi oleh Ahli Parlimen pembangkang sekiranya ingin mendapatkan peruntukan tersebut, Anwar berkata: “Tiada”.


Apa makna semua ini?


Ini bermakna, meskipun PN sudah membuat ketetapan menamatkan rundingan atau dalam erti kata lain menolak untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan, tetapi pintu untuk Ahli-Ahli Parlimen blok pembangkang memperolehinya masih belum tertutup.


Mereka kini boleh datang secara individu untuk mengadakan perbincangan dengan Fadillah berkenaan peruntukan tersebut.


Mereka tak perlu lagi meminta kebenaran PN kerana PN sudah pun menamatkan rundingan dan tidak mahu lagi berbincang dengan kerajaan.


Setelah PN tidak mahu lagi berunding, pilihan yang tinggal bagi Ahli-Ahli Parlimen ialah dengan sendiri pergi berbincang bagi diri mereka sebagai Ahli Parlimen.


Lainlah jika setelah menamatkan rundingan dengan kerajaan itu, PN kemudiannya sedia menyalurkan peruntukan gantian, barulah logik jika Ahli-Ahli Parlimen tidak datang lagi berunding dengan kerajaan.


Jika mereka sendiri tak mahu memberinya atau tidak mampu menyediakannya, amatlah tidak wajar jika PN pula menghalang Ahli-Ahli Parlimen di bawahnya daripada memperolehi peruntukan daripada kerajaan.


Lagi pun, bukankah jika Ahli Parlimen datang berbincang secara individu dengan pihak kerajaan bagi memperolehi peruntukan, ia adalah kerana semata-mata mereka begitu mengutamakan rakyat dan ingin berkhidmat dengan lebih baik lagi?


Selain itu, tiada kuasa bagi PN untuk menghalang Ahli-Ahli Parlimennya daripada mendapatkan peruntukan daripada kerajaan yang faedah akhirnya adalah untuk kepentingan rakyat, bahkan tidak melanggar mana-mana undang negara.


Dalam hal ini, Perdana Menteri juga telah memberi jaminan tiada apa-apa syarat yang akan dikenakan kepada Ahli Parlimen yang mahukan peruntukan itu.


Jadi, apa lagi, ayuh Ahli-Ahli Parlimen PN…utamakanlah rakyat dan segeralah menemui Fadilah untuk memperolehi peruntukan itu.


Fasa berpolitik sudah tamat, PN pun tiada harapan lagi untuk menebuk atap atau menukar kerajaan.


Berbaki empat tahun lagi sebelum tibanya PRU16, baiklah pilih untuk terus berkhidmat dengan cara yang terbaik kepada rakyat.


Tanpa peruntukan atau dana kewangan dan sekadar sembang saja kuat, lama-lama rakyat pun pasti meluat.


Jadi, fikir-fikirkanlah….(ShahbudinHusin 04/11/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/11/04/ertinya-ahli2-parlimen-pn-kini-boleh-datang-secara-individu-kepada-kerajaan-untuk-bincang-soal-peruntukan.html



No comments: