KEMPEN CALON LAWAN BANYAK GUNA DANA, DI MANA AKTA KESALAHAN PILIHANRAYA?


 

Penggunaan dana yang berleluasa oleh calon lawan terutamanya saingan Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos lalu menjadi salah satu punca sokongan beralih kepada pembangkang di beberapa negeri.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, pengiklanan di media sosial oleh parti lawan misalnya boleh dipertikaikan perbelanjaannya dan mungkin melebihi had yang dibenarkan untuk sesebuah DUN, iaitu sekitar RM100,000.

Katanya, calon BN mengikut peraturan dalam hal had perbelanjaan kempen namun pihak PN didakwa berbelanja lebih besar.

“Saya nak tekan Akta Kesalahan Pilihanraya. Kemungkin kekalahan yang memeranjatkan ini terjadi lebih kepada elemen platform digital advertising. Kita tahu Akta SPR Seksyen 19, Ahli Parlimen hanya boleh belanja RM200,000, ADUN RM100,000. Dia kena senaraikan dalam borang selepas pilihanraya.

“Seksyen 30, kalau langgar syarat itu kemenangan boleh dinafikan.

“Tetapi hari ini kalau lihat apa yang berlaku, satu masa dalam PRU dulu, dan sekarang PRN berlaku lagi, di mana perkembangan digital yang menawarkan parti politik (mengiklan) pada kos begitu besar,” katanya dalam forum atas talian bertajuk “Analisa PRN 2023: Di Mana Silapnya?”, malam tadi.

Azalina mengakui UMNO masih belum biasa dengan penggunaan teknologi digital sepenuhnya untuk berkempen dalam pilihanraya, lebih lebih lagi sebagaimana dilakukan oleh PN yang katanya, seolah olah berkempen untuk menjual produk perniagaan yang mengutamakan keuntungan semata mata.

Menteri Undang undang itu turut membentangkan kos yang terpaksa dibayar untuk membuat iklan di media sosial bagi membandingkan dengan had perbelanjaan yang dibenarkan.

“Kadang kita buka Youtube, ada iklan yang kita boleh skip dan yang tidak boleh. Sekali 15 saat iklan itu kosnya RM46,000. Katakan satu hari 10 kali dimainkan. Katakan untuk 14 hari, kita darabkan.

“Kemudian iklan yang boleh skip kalau target 1 juta orang, RM100,000 untuk 5 saat. Kalau main satu hari 10 kali, jadi maknanya Seksyen 19 ini, had RM200,000 untuk Ahli Parlimen tak terpakai lagi.

“Iklan TikTok kalau pergi ke 10 juta penerima, RM30,000 untuk 7 hari. Saya nak tanya adakah itu fair play dalam makna pilihanraya? Kita gunakan platform pilihanraya seperti platform perniagaan.

“Sebenanrya kita tawarkan calon itu untuk berkhidmat 5 tahun, bukan nak branding menjual sesuatu brand,” katanya sinis.

Mengenai kritikan yang mengatakan UMNO lemah kerana menang terlalu sedikit kerusi di Pulau Pinang dan Selangor serta tiada kerusi di Kedah dan Terengganu, Azalina berkata, Kerajaan Perpaduan yang disertai UMNO masih baharu dan gabungan politik itu masih perlu menyesuaikan diri di peringkat akar umbi dan jentera.

Keadaan akan menjadi lebih baik, katanya, dalam tahun tahun akan datang.

“(Yang penting) status quo (mendapat kembali 3 negeri) bagi saya sesuatu yang penting. Kalau kita melihat ia sebagai definisi kekalahan mungkin itu satu pentafsiran yang sempit.

“Kemudian (kita tengok) ada yang membuat data dari 108 DUN BN bertanding, Undi BN dalam 50 DUN meningkat. Dalam 137 kerusi PH bertanding undi PH di 94 DUN meningkat,” katanya.

Tegas Azalina, UMNO perlu tekankan kejayaan bersama dan selepas ini boleh bersama mentadbir 3 negeri yang mana sebelum ini mereka tidak terlibat dengan Kerajaan Negeri. Cara itu, katanya, kekuatan UMNO boleh dibina kembali pada masa hadapan.


No comments: