TUNGGU PEMILIHAN UMNO UNTUK BUANG ZAHID HAMIDI, BUKANKAH DIA DAPAT JAWATAN MELALUI USUL TIADA PERTANDINGAN YANG DISETUJUI AKAR UMBI?



Berikutan prestasi buruk UMNO pada PRN enam negeri baru-baru ini, melantun-lantun desakan diasakkan agar Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Presiden UMNO.


Persoalan pertama, jika Zahid Hamidi meletak jawatan, apakah masalah UMNO akan serta-merta selesai dan ia selepas itu terus mampu mencapai keputusan gemilang pada PRU16 akan datang?


Persoalan kedua, kalau Zahid Hamidi meletak jawatan juga, siapakah yang mahu diletakkan sebagai penggantinya?


Kiranya pengganti yang akan mengambil alih itu ialah Mohamad Hasan atas kedudukannya sebagai Timbalan Presiden sekarang ini, sejauh mana beliau ada keajaiban untuk memulihkan UMNO?


Jangan-jangan kerja pertamanya nanti adalah mengunjungi rumah Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin sekali lagi, setelah kali pertama melakukannya sebaik keputusan PRU15 diumumkan baru-baru ini?


Sebelum menemui jawapan dalam kedua-dua persoalan di atas, harus disedari bahawa Zahid Hamidi berjaya menduduki jawatan Presiden UMNO pada pemilihan lalu secara tidak bertanding adalah berdasarkan usul tidak membenarkan pertandingan bagi dua jawatan tertinggi UMNO yang mana ia disokong sebulat suara oleh akar umbi parti itu sendiri.


Nah…kenapa sekarang bila kalah PRN, hanya Zahid Hamidi seorang yang diminta berundur pergi?


Selain ketetapan meletakkan Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO adalah keputusan sebulat suara para perwakilan yang menyokong usul tiada pertandingan itu, ini bermakna kekalahan yang diterima UMNO dalam PRN baru-baru ini tidak boleh dibebankan kepada Presiden UMNO saja.


Apakah Timbalan Presiden UMNO yang juga menang tidak bertanding, tidak bersalah?


Dalam bahasa paling mudah dan melihat apa yang berlaku kepada UMNO kini, sementara Zahid Hamidi sering dicop sebagai beban utama, parti itu sebenarnya perlu perubahan total dan tidak mencukupi dengan hanya Presiden saja diundurkan jika inginkan hasil yang benar-benar berbeza dalam perjuangan masa depannya.


Ini kerana, jika Zahid Hamidi saja diundurkan, pengganti dan sususan di bawahnya masih mereka yang gagal yang berada dalam pakej Presiden UMNO sebelum ini.


Adalah sukar diyakini mereka yang sama-sama gagal bersama Zahid Hamidi untuk diletakkan harapan agar mampu berbuat lebih baik bagi memulihkan UMNO.


Pokoknya, selagi Zahid Hamidi disokong kepimpinan UMNO, beliau harus terus memegang jawatannya sekarang sehingga tamat tempoh.


Satu-satunya cara, jika semua orang mahu merubah UMNO dan membuang Zahid Hamidi, kepimpinan sedia ada mesti meletakkan jawatan dengan segera secara beramai-ramai agar satu pemilihan kepimpinan baru dapat diadakan.


Kemudian, mereka yang berada dalam kelompok kepimpinan tidak harus lagi menawarkan diri bertanding apa-apa jawatan, sebaliknya mesti turut berundur mengiringi pemergian Zahid Hamidi.


Hanya dengan itu, barulah wajah UMNO dapat dijelmakan dengan kepimpinan baru yang segar serta mereka juga mempunyai masa yang mencukupi untuk memulihkan keyakinan rakyat menjelang PRU16 yang dijangka diadakan pada tahun 2027 akan datang.


Tetapi, siapa dalam kepimpinan UMNO yang sedia berbuat demikian?


jika tiada yang sedia, pilihan yang tinggal hanyalah dengan semua pihak berlapang dada, kembali bersatu dan berganding tenaga memperkukuh kedudukan UMNO bersama-sama Zahid Hamidi yang telah dipersetujui menerajui UMNO sehingga tempohnya memegang jawatan itu berakhir pada 2026 akan datang.


Dalam pemilihan itu nanti, inilah masa yang terbaik untuk melakukan perubahan yang sewajarnya sebelum ketibaan PRU16.


Namun, jika pemilihan tahun 2026 juga dipersetujui untuk ditangguh lagi selama 18 bulan bagi membolehkan PRU16 diadakan terlebih dahulu dan pemilihan hanya dijadualkan enam bulan selepas PRU16 pada tahun 2027 itu sebagaimana usul dalam pindaan perlembagaan yang telah diluluskan, di mana ini bermakna Zahid Hamidi masih menerajui UMNO dan BN, anggap sajalah PRU itu nanti sebagai detik hidup mati yang mesti dilalui dan dilawan habis-habisan.


Sebagai ikhtiar terakhir barangkali, yang tinggal hanyalah banyakkan sama membaca doa tolak bala kepada Tuhan Yang Maha Esa. – ShahbudinHusin 19/08/2023.


https://shahbudindotcom.net/