Serangan Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Azmin Ali terhadap
Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari kononnya Selangor di bawah Pakatan
Harapan (PH) tiada hala tuju dijawab malam tadi.
MB Amirudin yang berucap pada majlis Pelancaran Jentera Pakatan
Harapan (PH) Selangor mempertikaikan hujah Azmin bahawa pentadbirannya tidak
bijak bekerja kerana katanya, ketika Azmin menjawat MB nilai pelaburan yang
mengalir ke Selangor tidaklah besar.
Sebaliknya menurut Amirudin, pelaburan ke Selangor pernah mencecah
RM18 bilion pada 2018 selepas Azmin dilantik sebagai menteri pusat.
"Lepas kamu tak jadi Menteri Besar Selangor, pencapaian
pelaburan terbaik kita RM18 bilion. Saya pun sedih dia (Mohamed Azmin) jaga
kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri tapi tak tahu pelaburan macam
mana.
"Masa dia jadi Menteri Besar pernah (nilai pelaburan) antara
RM5 bilion hingga RM7 bilion sahaja," katanya di Dataran Kemerdekaan,
malam tadi.
Selain itu, MB juga menolak kata kata angkuh Azmin bahawa
beliaulah yang berjasa sehingga Amirudin dilantik sebagai orang nombor satu
dalam kerajaan Selangor.
Menyifatkan hal itu telah berlalu dan rakyat kini menilai siapakah
yang menunjukkan prestasi lebih baik, Amirudin membandingkan rekod kemenangan
beliau dalam Pilihan Raya Umum ke 15 lalu termasuk di DUN Bukit Antarabangsa
yang dipertahankan Azmin sebagai sandaran menuju Pilihan Raya Negeri.
"Kau jangan lupa Min (Mohamed Azmin), aku yang kalahkan kamu
enam bulan lalu," katanya sambil mendapat sorakan penyokong PH.
Untuk rekod, pada PRU lalu Amirudin merampas kerusi parlimen
disandang Azmin selama tiga penggal dengan majoriti 12,729 undi.