APA KATA KALI INI APANDI KEMUKA SAMAN SIVIL PULA TERHADAP TUN MAHATHIR

 


Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak setuju dengan penyelesaian luar mahkamah yang diputuskan kerajaan terhadap saman bekas Peguam Negara, Apandi Ali.
Katanya, kerajaan juga tidak patut menyelesaikan kes penamatan perkhidmatan Apandi sebagai Peguam Negara di luar mahkamah dan merahsiakan terma serta pampasan yang dibayar kepadanya.
Perkembangan itu, tambahnya, amat mengejutkan kerana beliau dimaklumkan bahawa tindakan ke atas Apandi dibuat mengikut undang-undang sewaktu memberi keterangan kepada Peguam Negara sekarang, Idrus Harun.
Saya pertahan tindakan saya dan percaya bahawa saya telah ikut prosedur yang ditetapkan dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara.
“Pada masa itu saya berasa Apandi tidak dapat bertindak bebas kerana dia merupakan peguam UMNO sejak sekian lama.
“Dia tidak mungkin dapat berlaku adil dalam siasatan terhadap 1MDB dan salahlaku Najib Razak,” jelas Tun Mahathir lagi berhubung tindakannya menamatkan perkhidmatkan Apandi pada 2018 lalu.
Seterusnya, tegas Tun Mahathir lagi, beliau kekal dengan pendirian tidak mengaku atas tindakannya menamatkan perkhidmatan Apandi serta sedia mempertahankan pendiriannya di mahkamah.
Kenyataan penuh Tun Mahathir adalah seperti di bawah:-
********************************
PENAMATAN PERKHIDMATAN TAN SRI APANDI ALI
1. Tan Sri Apandi Ali telah fail tuntutan di Mahkamah terhadap saya setelah saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri. Dia tuduh yang saya berniat jahat dan tidak turut undang-undang dalam menamatkan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara.
2. Saya telah beri kenyataan saya kepada pihak Peguam Negara. Saya pertahan tindakan saya dan percaya bahawa saya telah ikut prosidur yang ditetapkan dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara.
3. Pada masa itu saya berasa Tan Sri Apandi tidak dapat bertindak bebas kerana beliau merupakan peguam UMNO sejak sekian lama.
4. Dia tidak mungkin dapat berlaku adil dalam siasatan terhadap 1MDB dan salahlaku Dato Seri Najib. Malahan dia telah kata bahawa Najib tidak bersalah kerana kononnya tiada kes, sebelum apa-apa tindakan siasatan dibuat.
5. Sikap berat sebelah Apandi ini terbukti apabila Najib didapati bersalah oleh hakim Mahkamah Tinggi dan Rayuan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
6. Semasa saya beri keterangan kepada pihak Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) bagi persediaan kes saman Apandi terhadap saya, saya telah dimaklum bahawa proses penamatan perkhidmatan itu betul dan mengikut prosidur dan Rule of Law.
7. Mereka maklumkan bahawa saya dan kerajaan telah memberi nasihat betul pada Yang di-Pertuan Agong supaya Tan Sri Apandi Ali ditamatkan perkhidmatan.
8. Saya terkejut apabila baca berita baru-baru ini tentang satu penyelesaian diluar mahkamah dibuat diantara Kerajaan dan Apandi. Terma penyelesaian juga dirahsiakan.
9. Saya tidak pun dimaklum tentang terma penyelesaian walaupun saya merupakan saksi utama.
10. Saya menulis pada Peguam Negara. Saya tidak bersetuju dengan cara penyelesaian tersebut dibuat. Saya berasa kerajaan tidak sepatutnya tunduk memandang bahawa tindakan penamatan perkhidmatan Apandi mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada Kerajaan.
11. Saya tidak faham kenapa terma penyelesaian harus dirahsia dari saya serta rakyat. Rakyat berhak tahu. Lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan pampasan.
12. Apakah pampasan perlu dibayar jika tindakan dibuat mengikut undang-undang? Di mana prinsip Rule of Law.
13. Saya berpendapat penyelesaian memberi pampasan besar itu untuk seorang yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik adalah amat dikesali diwaktu mana sekalipun. Saya tidak mengaku salah dan bersedia untuk tuntutan Apandi di adili di mahkamah.
DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
6 Mei 2022
********************************
Dalam hal ini, meskipun saman Apandi terhadap kerajaan dan Tun Mahathir telah dikira selesai dengan tindakan kerajaan menyelesaikannya di luar mahkamah, tetapi dari segi moral kepada bekas Peguam Negara itu, ia belum lagi dianggap sudah berakhir.
Tindakan Tun Mahathir mempertikaikan penyelesaian di luar mahkamah yang diputuskan kerajaan, tidak mengaku salah atas tindakannya menamatkan perkhidmatan Apandi serta sedia ke mahkamah untuk mempertahankan pendiriannya, adalah suatu cabaran terbuka kepada Apandi sendiri.
Ternampak masih ada calit-calit hitam yang diragui yang tidak beres yang ingin diberitahu oleh Tun Mahathir di dalam mahkamah yang mulia berhubung keputusannya menamatkan perkhidmatan Apandi.
Secara tidak langsung, rakyat juga tentunya ingin tahu kebenaran yang sebenar mengenainya.
Maka, apa kata, terutama jika Apandi kekal berpegang dengan pendirian bahawa pemecatannya oleh Tun Mahathir adalah tindakan yang salah sebagaimana beliau mengemukakan saman sebelum ini, kali ini beliau terus saja menyaman sivil bekas Perdana Menteri itu kerana masih lagi mengaibkannya serta mempertikaikan keputusan kerajaan menyelesaikan kes samannya itu di luar mahkamah.
Harap-harap Apandi sentiasa berani dan tidak menunggu lama untuk memfailkan saman tersebut. – ShahbudinHusin 06/05/2022.


No comments: