APA CERITA PEMILIHAN UMNO 2022, BERJAYAKAH PINDAAN PERLEMBAGAAN TANGGUH LAGI TARIKHNYA?

 

Berikutan permohonan menangguhkan pemilihan UMNO selama 18 bulan sebagaimana dibenarkan dalam perlembagaannya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan atau RoS, tempoh akhir parti itu mesti mengadakan pemilihannya ialah pada 29 Disember tahun ini.

Pemilihan UMNO diadakan tiga tahun sekali dan kali terakhir ia diadakan ialah pada 30 Jun 2018.

Oleh kerana Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu berganjak daripada keinginan mahukan PRU15 dilangsungkan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti diadakan, meskipun sudah menerima kelulusan menangguhkan selama 18 bulan, Perhimpunan Agung UMNO atau PAU2021 pada Mac baru-baru ini telah meluluskan usul yang menetapkan pemilihan parti hanya akan diadakan enam bulan selepas PRU15 dilangsungkan.

Usul itu bagaimanapun masih perlu mendapat kelulusan RoS sama ada membenarkan ia dikuatkuasakan atau sebaliknya.

Setelah kira-kira dua bulan berlalu selepas usul tersebut diluluskan, sehingga ini belum ada sebarang khabar berita daripada RoS berkenaan dengannya.

Dan bagi tujuan mengukuhkan lagi usul berkenaan, UMNO seterusnya akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 16 Mei ini bagi meminda perlembagaan berkaitan usul yang telah diluluskan itu.

Dengan itu, peraturan bahawa pemilihan parti hanya akan diadakan enam bulan selepas PRU berakhir bakal menjadi ketetapan yang tertulis dalam perlembagaan UMNO.

Persoalan yang timbul dan menjadi tanda tanya ramai ialah apakah pemilihan parti yang dimaktubkan dalam perlembagaan yang hanya akan diadakan selepas enam bulan PRU dilangsungkan itu masih terpakai jika tempoh penangguhan selama 18 bulan telah digunakan?

Dari segi logiknya, menetapkan pemilihan parti hanya akan diadakan selepas enam bulan setelah PRU dilangsungkan tidaklah menimbulkan apa-apa masalah kiranya tempoh itu masih dalam lingkungan 18 bulan tempoh pemilihan dibenarkan untuk ditangguhkan.

Tetapi, bagaimana untuk menangguhkan lagi pemilihan parti sedangkan penangguhan selama 18 bulan telah pun dimanfaatkan oleh UMNO?

Peraturan mana yang akan membenarkan lagi penangguhan dilakukan selepas pemilihan ditangguhkan selama 18 bulan?

Bagaimana jika pindaan perlembagaan yang diluluskan dalam PAU Khas 16 Mei ini tidak diterima pakai oleh RoS untuk pemilihan UMNO 2022, sebaliknya hanya boleh digunakan untuk pemilihan tiga tahun akan datang lagi?

Sediakah Zahid Hamidi berdepan pemilihan UMNO lebih dulu sebelum PRU15 atau UMNO akan terus mendesak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk menyegerakan juga pembubaran Parlimen? – ShahbudinHusin 05/05/2022.



No comments: