HINDARI TITIK NOKTAH PERJUANGAN


Saya mengambil sedikit masa untuk membangkitkan rasa sedar dalam diri saya sendiri dalam menghayati dua mesej yang disampaikan dua tokoh Parti KEADILAN Rakyat dalam dua hari kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang YB Pak Hassan Karim meluahkan rasa sedih dan kerisauan tentang pudarnya semangat perjuangan di kalangan anak-anak muda yang memimpin parti di kala ini, dimalapkan oleh kecenderungan analisa data, simulasi dan persepsi yang membawa kepada kibaran bendera putih bersandarkan analisa mudah menggunakan kaedah serba moden mereka.

Saya tidak nafikan, analisa data sedemikian memang membantu dalam memberikan gambaran tentang kedudukan parti dalam bentuk angka-angka yang ditafsirkan sebagai panduan. Tetapi, bak kata Pak Hassan, ia tidak samasekali patut menjadi signal untuk begitu mudah mengibarkan bendera putih.

Calon Timbalan Presiden YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu ceramahnya seperti menyambut kenyataan Pak Hassan itu dan mengupas kedudukan sebenar parti yang terus-menerus cuba dilemahkan oleh elemen-elemen dalam parti sendiri dengan persepsi negatif setelah parti mengalami kekalahan dalam empat siri pilihanraya negeri yang lalu. Ini sedangkan suara-suara itu sendiri memilih untuk tidak berada bersama ketika parti sedang lemah.

Perlu penyatuan dalam parti di mana kita semua berkongsi halatuju yang sama dan bukan adanya pihak yang menyimpan hasrat untuk menggantikan Anwar sebelum tiba waktunya, lebih-lebih lagi beliau sendiri baru sahaja kembali dari penjara dan belum pun mendapat peluang merealisasikan reformasi dan menterjemahkan perjuangannya untuk rakyat.

Kenyataan mereka boleh saya simpulkan sebagai satu kerisauan yang dikongsi di kalangan generasi pejuang Reformasi atau orang-orang lama parti. Ia lebih tentang pudarnya semangat juang di kalangan generasi pelapis, lebih-lebih lagi penghayatan tentang erti perjuangan sebenar Parti KEADILAN Rakyat.

Saya cuba mudahkan pemahaman tentang apa itu perjuangan rakyat yang menjadi tunjang Reformasi dari perspektif seorang anak muda kerdil seperti saya.

Perjuangan ini bukan tentang kita tetapi tentang rakyat miskin dan terpinggir yang suara-suara mereka kita angkat dan mertabatkan hingga selamat dari kehidupan yang tertekan angkara ketirisan, kezaliman dan korupsi amalan elit politik tanahair sejak Merdeka.

Ya, kita bersaing untuk merebut jawatan dalam parti yang memungkinkan kita langsung bersaing pula untuk menjadi calon dalam pilihanraya dan dalam pilihanraya itu sendiri kelak.

Kita bersaing untuk menjadi sosok yang membawa suara-suara kerdil yang tidak didengari baik dari kalangan ahli-ahli yang terpinggir, mahupun rakyat jelata. Ini harus saya tekankan, menjadi asas misi kita, atau sekurang-kurangnya pasukan saya dan mereka yang senada dengan kami.

Ini bukan satu mesej yang semakin berkurang relevannya di kala - seperti apa yang dibangkitkan YB Pak Hassan Karim - analisa, data dan artificial intelligence menjadi pemangkin kepada kajian dan juga persepsi tentang kedudukan parti KEADILAN dan PH di mata rakyat.

Malah, mesej bagi mengingatkan generasi pelapis tentang perjuangan mengangkat suara rakyat ini semakin relevan di kala ini, di mana rakyat berdepan kesempitan hidup dan kesengsaraan yang turut diakui oleh projeksi-projeksi data dan analisa strategik tentang hala tuju ekonomi negara.

Ini sepatutnya lebih membimbangkan kita dari data dan analisa samada kita menang atau kalah pilihanraya akan datang atau yang seterusnya. Ini kerana usaha kita, menang atau kalah, adalah sepatutnya bertunjangkan perjuangan yang tidak pernah selesai ini.

Mungkin ada ketika di mana saya sendiri berasa hampa dengan pandangan-pandangan yang tidak langsung memberikan gambaran positif terhadap parti. Di kala itu saya sering mengingatkan diri tentang perjuangan yang dilalui presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, lebih-lebih lagi Demonstrasi Baling 1974.

Menyingkap kembali peristiwa Demonstrasi Baling 1974 itu, kita diingatkan bagaimana mahasiswa-mahasiswa di kalangan anak muda ketika itu bangkit melawan ketidakadilan dan kesenjangan yang mengakibatkan ribuan rakyat di kalangan petani-petani miskin dan jauh terpinggir di pedalaman, hidup sengsara dalam kesempitan hidup yang kian menekan. Mereka bukan saja hidup merempat dan ditekan kemiskinan, serta masalah kesihatan dan wabak penyakit akibat daripada itu, tetapi suara-suara mereka juga terpinggir dan langsung tidak didengari.

Memperjuangkan nasib mereka ini bukanlah sesuatu yang popular. Tidak juga membawa apa-apa pulangan kepada para mahasiswa muda ketika itu. Malah ekoran itu, Anwar dipenjarakan selama hampir dua tahun akibat penglibatannya dalam Demonstrasi Baling itu. Namun, ia membawa perubahan dan perhatian negara tertumpu kepada nasib para petani-petani miskin yang terpinggir dan terpisah dari arus pembangunan tanahair. Nasib mereka akhirnya mendapat pembelaan.

Itu tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada Anwar dan rakan-rakan seperjuangannya ketika itu, termasuk Pak Hassan Karim sendiri. Tetapi perjuangan ikhlas mereka terpahat di hati petani-petani itu sehingga kini. Ia dapat di lihat di mana pada bulan Mac lalu, penduduk-penduduk di situ masih tetap menganjurkan majlis bagi memperingati Demonstrasi Baling dan pengorbanan sosok bernama Anwar Ibrahim demi masa depan mereka.

Anwar menang dalam perjuangannya itu, tapi habuan yang dia dapat ialah merengkok dalam penjara. Namun itu menjadi pemangkin, pembakar semangatnya untuk terus berjuang dan setelah 48 tahun pun tiada data atau indikasi yang menunjukkan semangat itu telah malap walau sedikit pun. Jadi siapalah kita untuk menyerah kalah hanya kerana kalah dalam empat pilihanraya negeri di kala parti mengalami kelompongan dan dilemahkan?

Contoh dan teladan ini yang saya terus berusaha terap dan sematkan di dalam hati dan sanubari anak-anak muda KEADILAN melalui gerakan Legasi Reformasi.

Kita harus teruskan menyantuni, mendengar dan membawa suara rakyat dan ahli-ahli kecil KEADILAN, walau kita mengerti usaha-usaha tidak popular ini tidak dikutip sebagai data yang boleh menggambarkan kemenangan parti dalam pilihanraya. Kerana inilah perjuangan kita dan kerana itulah kita berada di dalam Parti KEADILAN.

Paling utama ialah pada saat yang getir ini kita, tidak kira yang lama, yang baru, yang tua atau muda, perlu disatukan hati di bawah satu panji dan halatuju yang dikongsi bersama. Inilah mesej yang kita bawa bersama dalam pemilihan parti kali ini. Meningkatkan persepsi bahawa parti lemah tanpa mana-mana sosok yang tidak mahu bersama harus ditolak dan digantikan dengan kekuatan yang kita bina hasil penyatuan ini.

Walau mungkin Pak Hassan sebagai orang lama sedikit terguris oleh sentimen-sentimen yang dimainkan oleh segelintir ahli-ahli di kalangan anak muda parti, percayalah bahawa masih ada dan semakin ramai anak-anak muda yang menghayati dan akan terus membawa panji-panji perjuangan rakyat ini dengan penuh tawadhu dan istiqomah.

Percayalah, di dalam jiwa kami, seperti juga Pak Hassan dan Datuk Seri Saifuddin, tiada tokoh lain selain Anwar Ibrahim yang menjadi pilihan untuk dinobatkan Perdana Menteri.

18-4-2022

FARHASH WAFA SALVADOR

Calon Naib Presiden

PARTI KEADILAN RAKYAT