SAMAN DULU- DULU PUN MACAM ITU JUGA NFC, 1MDB.....

 

Rafizi berdepan risiko saman fitnah, tarikh akhir surat tuntutan tamat




Presiden Sapura, Shahril Shamsuddin (kiri) menuntut permohonan maaf daripada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berdepan saman fitnah berhubung kenyataannya semasa berbalah dengan bekas perdana menteri, Najib Razak, mengenai masalah kewangan Sapura Energy Berhad.

Satu surat tuntutan maaf dihantar kepada Rafizi. Antara lain, surat itu juga menuntut tiga artikel didakwa berunsur fitnah terhadap presiden kumpulan dan ketua eksekutif Sapura, Shahril Shamsuddin, ditarik balik.

Tarikh akhir yang diberikan kepada Rafizi untuk mematuhi tuntutan itu tamat pada Selasa lepas, dan peguam Shahril dijangka akan memfailkan saman fitnah di mahkamah.

Beliau tersinggung dengan dakwaan Rafizi bahawa pemegang-pemegang saham majoriti Sapura Energy, dipimpin Shahril, memperolehi sejumlah RM1.33 bilion, yang mana RM1.1 bilion adalah gaji dan selebihnya bayaran lain dan dividen.

Rafizi mendakwa bayaran itu tiga kali ganda RM440 juta dividen yang syarikat itu bayar kepada pemegang saham lain.

Peguam Shahril bagaimanapun nafi bahawa Shahril menerima imbuhan RM1.1 bilion.

Surat tuntutan kepada Rafizi menjelaskan jumlah keseluruhan imbuhan yang diperolehi Shahril antara 2013 dan 2021 berjumlah RM486 juta, dan ia diberikan selepas beliau mencapai dan memenuhi petunjuk prestasi utama tertentu. Perkara ini diketahui umum, tambahnya.

Menurut surat itu lagi, imbuhan dibayar kepada semua pengarah eksekutif Sapura Energy, termasuk Shahril, berdasarkan keuntungan operasi yang mencerminkan prestasi pengurusan sebenar.

Laporan tahunan bagi tempoh tersebut juga menunjukkan keuntungan selepas cukai Sapura Energy dan kepentingan minoriti, tidak termasuk rosot nilai, berjumlah RM4.74 bilion berbanding hasil RM66.27 bilion.

Shahril juga bersetuju suatu perjanjian pinjaman dikenakan ke atas saham pegangannya di Sapura Energy dan diri sendiri, berhubung kemudahan bernilai kira-kira RM18 bilion yang diberikan kepada syarikat itu.

Selain itu, beliau turut memainkan peranan dalam suntikan RM532 juta ke dalam Sapura Energy, ketika isu terbitan hak pada 2019.

Tindakan beliau bersetuju dengan perjanjian-perjanjian yang dikenakan ke atasnya itu membuktikan komitmen Shahril kepada syarikat, “bukannya individu yang memperkayakan diri sendiri dengan mengorbankan Sapura (Energy), seperti yang dicadangkan oleh artikel-artikel terbabit,” kata peguam.

Shahril juga menyanggah dakwaan Rafizi bahawa gaji dan bonus beliau diikat pada harga saham Sapura Energy.

Ikatan itu didakwa menyebabkan Sapura Energy tergesa-gesa membida projek-projek di serata dunia, tanpa mengira sama ada ia boleh dilaksanakan, dan menanggung hutang yang banyak.

“Harga saham tidak menjadi sebahagian daripada petunjuk prestasi utama yang memberi kesan ke atas imbuhan pengarah-pengarah eksekutif,” menurut surat tuntutan itu.

Surat itu menjelaskan pengarah-pengarah eksekutif Sapura Energy dibayar berdasarkan prestasi tahun sebelumnya, dan juga suatu pelan insentif jangka masa panjang yang turut diguna pakai bagi 100 kakitangan Sapura berprestasi tinggi lain.

Peguam berkata urusan pampasan itu harus melepasi proses dalaman yang ketat sebelum diluluskan oleh lembaga pengarah.

“Pada dasarnya, anak guam kami diberi imbuhan selepas mencapai dan memenuhi semua petunjuk prestasi utama yang khusus,” kata peguam itu.

No comments: