Pemandu lori maut dilanggar kereta selepas hantar anak hadiri SPM

 

Pemandu lori maut dilanggar kereta selepas hantar anak hadiri SPM


Pemandu lori maut dilanggar kereta di Kilometer 6 Jalan Machang-Pasir Puteh di sini, pagi tadi, selepas menghantar anak lelakinya yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke sekolah.

Dalam kejadian 7.20 pagi itu, mangsa Zainudin Ab Samat, 56, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintenden Ganti Jimmy berkata, ketika kejadian mangsa memarkir lori dipandunya di seberang jalan sebelum menghantar anaknya ke sekolah.

Katanya, selepas menghantar anaknya itu di hadapan pintu pagar sekolah, mangsa kemudiannya berpatah balik dan melintas jalan untuk kembali ke tempat lorinya yang diparkir di tepi jalan itu.

“Bagaimanapun, ketika hendak melintas jalan, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 54 tahun dari arah Machang ke Pasir Puteh melanggar mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak dan terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi selepas itu,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, kemalangan berlaku disyaki berpunca akibat kecuaian mangsa yang melintas jalan di kawasan bukan lintasan pejalan kaki.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

No comments: