Pengundi dalam Pilihan Raya
Negeri (PRN) Johor dinasihatkan berfikir secara rasional dan tidak mengambil
keputusan tidak keluar mengundi di atas faktor kesihatan atau Pilihan Raya Umum
(PRU) telah hampir.
"Kalau nak kira kestabilan, untuk siapa? Pemimpin atau rakyat. Kalau kemakmuran untuk siapa? Ia tidak lain untuk mengekalkan kuasa yang ada.
"Ada yang menyampah tak mahu keluar mengundi. Tetapi masalahnya apa? Masalah kalau kita tak keluar mengundi yang akan naik mereka juga. Kalau mereka terus kukuh berkuasa saudara ingat nasib rakyat dapat dibela?
"Kita lihat sejarah rasuah, skandal, kuasa, kesombongan semua akan berulang kembali kalau kita biarkan mereka terus kekal
"Kena keluar mengundi. Ramai ramai. Paling kurang pun angkat calon calon kita. Ada semak imbang, persoalkan satu per satu," katanya dalam ceramah di Felda Meloi, Pemanis, semalam.
Syed Ibrahim turut mengingatkan hadirin kepada kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan bahawa Umno akan terus mendesak PRU diadakan biar pun kalah dalam PRN Johor.
"Semalam Tok Mat kata kalau pun PRN Johor kami kalah kami desak untuk PRU diadakan segera. Apa maksud itu?
"Maknanya mereka tak kira ekonomi, Covid, harga barang naik, yang penting mereka dapat kuasa. Kalau ini alasannya, kita kena tolak mereka. Jangan beri peluang mereka lagi.
"Kita kena lantik wakil kita. Angkat suara rakyat Johor. Kalau harap wakil Umno mereka pun bergaduh BN dan PN. Untuk apa beri lagi kepada mereka," katanya.
Justeru, Syed Ibrahim menyeru agar rakyat mengalahkan BN yang telah membazirkan wang RM95 juta untuk mengadakan PRN pada 12 Mac ini.