4 BULAN AYAM TAK MAHU BERTELOR

 

4 bulan untuk stabilkan bekalan ayam, telur, kata menteri



Bekalan ayam dan telur di pasaran boleh distabilkan dalam tempoh empat bulan bagi memenuhi permintaan dalam negara, kata Ronald Kiandee.

PORT DICKSON: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjangkakan bekalan ayam dan telur di pasaran mampu distabilkan dalam tempoh empat bulan bagi memenuhi permintaan dalam negara, kata Menterinya Ronald Kiandee.

Beliau berkata, ini berikutan pelbagai insentif dan subsidi yang diberikan kepada pemain industri terutama penternak dalam menstabilkan pengeluaran bekalan ayam dan telur sekali gus meringankan beban mereka yang menghadapi peningkatan kos termasuk bahan mentah.

“Subsidi baharu diumumkan minggu lepas dan sedang dalam proses pengaturan dengan pihak industri. Kerajaan mendengar masalah yang dihadapi dan telah ambil tindakan bagi menampung sedikit implikasi kenaikan kos pengeluaran bekalan makanan negara.

“Kita beri tempoh empat bulan, ayam kalau kita nak ternak kena ambil masa 30 hingga 40 hari, jadi ia perlukan masa (untuk stabilkan bekalan ayam dan telur),” katanya kepada pemberita selepas program penubuhan Pasukan Sokongan Tindak Balas Kecemasan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (CDERT FAMA), di sini.

Program dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abd Latiff Ahmad.

Pada 9 Feb lalu, Kabinet dilaporkan bersetuju memberikan subsidi 60 sen per kilogram (kg) kepada penternak ayam mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kg dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90 per kg, manakala 5 sen bagi setiap biji telur semua jenis kategori sehingga 4 Jun depan.

Beliau berkata, MAFI juga membuat sesi libat urus bersama pengusaha dan penternak selepas pengumuman subsidi itu dengan memberikan jaminan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bekalan ayam dan telur seperti sedia kala sekali gus mampu memenuhi keperluan dalam negara.

Dalam pada itu, Ronald sekali lagi menegaskan bahawa langkah kerajaan membenarkan pengimportan bekalan ayam bulat dari luar negara adalah bersifat sementara bagi menampung kekurangan bekalan ayam dalam pasaran sehingga ia kembali stabil.

“Kita dah buka bukan sahaja kepada pengimport luar tetapi dalam kalangan pengusaha pasar raya (import).. sebulan dua kebelakangan ini kita lihat bekalan kurang sebab itu kita benarkan import. Bila pengeluaran (dalam negara) stabil kita akan hentikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ronald berkata, usaha MAFI melalui FAMA dalam melaksanakan CDERT adalah bertepatan dan seiring dengan semangat Keluarga Malaysia bahawa tugas serta tanggungjawab dalam menghadapi bencana tidak hanya terletak pada pasukan penguat kuasa semata-mata.

No comments: