Pinjaman tanpa cagaran GHK: Bank harus tuntut balik pinjaman - Abdullah Sani



Sitaan ke atas kapal pesiar Crystal Symphony dan Crystal Serenity yang digunakan oleh syarikat Genting Hong Kong (GHK) dalam perniagaan mereka oleh pihak berkuasa Bahamas kerana gagal membayar kos bahan api membuka polemik adakah hutang yang dibuat oleh syarikat sama kepada bank bank di Malaysia boleh dituntut.

Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, bank bank Malaysia mungkin boleh memikirkan apakah wujud aset aset yang boleh dituntut kerana pinjaman ke atas 3 bank itu melibatkan dana awam seperti Khazanah, KWSP dan PNB.

"Saya punya pandangan dia (tiga bank itu) tidak ada pilihan, wajib mereka segera menuntut (hutang) walaupun tidak secara keseluruhan tetapi sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban bank itu sendiri.



"Buat pinjaman mesti kena ada jaminan, tetapi ini tidak ada jaminan sedangkan dia (Genting Hong Kong) berhutang dengan pihak bank. Bank tempatan ini terlibat dengan pemegang saham dan syarikat-syarikat GLC yang terlibat seperti KWSP, Socso dan sebagainya.

"Jadi kerajaan ada kepentingan di situ dan bank-bank ini terlibat secara langsung di bawah kerajaan," katanya.

Selain itu, Abdullah juga mahu penjelasan Menteri Kewangan secara menyeluruh mengapa tiga bank Malaysia dibenar memberi pinjaman tanpa jaminan sedangkan mana-mana pinjaman perlu ada jaminan.

"Ia telah melanggar etika pinjaman dan tidak boleh diterima pakai," katanya.

Baru baru ini, kapal Crystal Cruises yang beroperasi di bawah unit Genting Hong Kong Ltd dirampas di Bahamas selepas pembekal bahan api memohon penahanannya ekoran bil tertunggak tidak berbayar berjumlah AS$4.6 juta (RM19.1 juta), demikian menurut laman web Cruise Law News.

Crystal Symphony dan Crystal Serenity ditahan di Freeport, Bahamas, menurut Cruise Law News, laman web yang dikendalikan oleh peguam maritim Jim Walker yang berpangkalan di Florida

Genting Hong Kong menjadi pengendali pelayaran terbesar di dunia yang mendapatkan bantuan mahkamah bagi melindungi asetnya ketika pandemik apabila ia memfailkan kepada Mahkamah Agung Bermuda pada 18 Januari untuk melantik penyelesai sementara selepas melaksanakan ‘semua usaha yang munasabah’ untuk berunding dengan pemiutang dan pihak berkepentingan.

Syarikat itu melaporkan kerugian sebanyak AS$1.7 bilion (RM7.1 bilion) pada Mei selepas Covid-19 menjejaskan industri pelayaran.

Crystal Symphony juga menamatkan pelayarannya lebih awal dan melencong ke Bahamas, menurut penumpang di media sosial.