Wartawan cilik: Sultan Kedah hadiahkan telefon bimbit, tablet kepada Haziq

 

Wartawan cilik: Sultan Kedah hadiahkan telefon bimbit, tablet kepada Haziq


BERMULA dengan aksi bersahaja melaporkan secara langsung penemuan ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Kedah menerusi Facebook, adik Muhammad Haziq Mohd Asyraf bukan saja popular sekelip mata, malah murah rezeki.

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu kemudian diberikan peluang membuat laporan secara langsung berasa Astro Awani serta membuat pengumuman berkaitan suntikan ‘booster’ vaksinasi Covid-19 di sekitar Bukit Selambau menaiki van Jabatan Penerangan (JAPEN).

Kepetahan adik Muhammad Haziq turut mendapat perhatian Pejabat Sultan Kedah apabila dikunjungi kakitangan istana yang menyampaikan hadiah kepadanya.

Menerusi satu video dimuatnaik di Facebook, Muhammad Haziq berkata dia menerima telefon bimbit dan tablet jenama Oppo disampaikan kakitangan istana.

“Tadi kakitangan Sultan Kedah bagi hadiah, kami dapat telefon dan tablet Oppo… ada juga orang bagi duit, kotak pensil dan macam-macam lagi.

“Alhamdulillah rezeki, kami pun tak tau macam mana boleh viral (video siaran langsung penemuan ular sawa). Amat-amat dahsyat,” katanya menerusi video berkenaan.

Sebelum ini ibunya, Shakilla Zainol, 33, berkata dia menerima panggilan telefon daripada pihak istana memaklumkan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan untuk menghadiahkan anaknya telefon bimbit.

Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat dalam operasi menangkap ular sawa di Bukit Selambau, memaklumkan mahu memberikan sijil penghargaan buat Muhammad Haziq dalam satu program di Langkawi.

Di sebalik kepetahannya bercakap, murid Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau itu dilaporkan menghidap talasemia.

Dia disahkan menghidap penyakit itu pada usia lima tahun dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) secara berkala.


No comments: