PETALING JAYA: Lebih baik Umno bergerak solo daripada bersama Perikatan Nasional kerana tiada kejujuran politik dalam gabungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, kata Puad Zarkashi.
Menjawab kecaman Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, terhadap Umno semalam, Puad berkata parti itu nampaknya tidak peduli Bersatu ‘menikam belakang’ Umno, seperti yang berlaku di Sabah.
“PAS tidak peduli itu semua. PAS tidak rugi. Maka perpaduan Melayu apa yang PAS harapkan kalau tujuan PPBM adalah untuk membunuh Umno melalui PN?” katanya dalam kenyataan.
Berlatarkan PRN Johor yang akan berlaku kelak, Hadi mengingatkan Umno bahawa parti itu diselamatkan oleh partinya selepas pilihan raya umum lalu.
Hadi mengumpamakan Umno seperti ‘itik patah kaki’ yang mahu tinggalkan PAS selepas sembuh, menyifatkan ia sebagai sesuatu yang tidak bermaruh dan tidak betul.
Umno dan PAS mengadakan Muafakat Nasional selepas PRU14.
“Sebenarnya PAS yang lemahkan Muafakat Nasional bila sertai Perikatan Nasional dan ‘main dua lawang’,” jawab Puad.
“PAS hanyut kerana nikmat jawatan menteri…PAS sampai sanggup meminggirkan dua tiga orang pemimpin atasannya yang pro-MN.”
Pesan Puad kepada PAS, parti itu akan jadi itik yang patah kedua-dua kaki jika bersekongkol dengan Bersatu, yang didakwa didominasi ‘katak politik’.
“Sebenarnya susah berkawan dengan PAS,” katanya, mengambil maklum bahawa Hadi mengatakan BN yang ditunjangi Umno tidak relevan.