Muhyiddin semakin luka, kini bekas Adun Larkin pula tinggalkan Bersatu

 


Muhyiddin semakin luka, kini bekas Adun Larkin pula tinggalkan Bersatu


Seorang lagi wakil rakyat Bersatu mengumumkan langkahnya meninggalkan parti itu dan memberi alasan hilang keyakinan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai punca mengambil tindakan tersebut.

Mohd Izhar Ahmad yang sebelum ini menjadi Adun Larkin mengumumkan hal itu melalui sidang media di Johor Bahru sebentar tadi.

Dia juga memberitahu tidak akan mempertahankan kerusi Larkin atau mana-mana kerusi lain dalam PRN akan datang.

“Tindakan ini terpaksa saya ambil dengan berat hati setelah parti yang saya dukungi selama ini hilang hala tuju dan gagal meneruskan agenda penubuhannya sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama Mohd Izhar menggesa pengundi Johor agar memberikan sokongan mereka kepada BN bagi memastikan kestabilan kerajaan selepas ini.

Untuk rekod dalam PRU ke-14 lalu Mohd Izhar memenangi kerusi Larkin dengan majoriti undi yang meyakinkan iaitu 8,590 mengatasi dua pencabar iaitu Yahya Ja’afar dari BN dan Zakian Tukirin (PAS).

Bagaimanapun dia ketika itu bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH).

Menurut Mohd Izhar pada pandangannya Muhyiddin bukan saja gagal membawa Bersatu ke tahap yang lebih baik malah tidak berusaha memulihkan parti berkenaan selepas ia berpisah daripada kumpulan Dr Mahathir Mohamad.

Apa yang berlaku itu, katanya, bukan saja merencatkan perkembangan parti malah menjejaskane idealism perjuangan mereka, sekali gus memberi kesan pada masyarakat khususnya orang Melayu dan Islam.

“Dalam kata lain, antara faktor utama saya meninggalkan Bersatu ialah kerana hilang kepercayaan kepada presiden,” katanya.

Mohd Izhar yang sebelum ini menjadi exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor menambah, dia yakin BN perlu diberi laluan untuk menjadi kerajaan.

“Atas kesedaran dan keinsafan ini juga saya akan terus membantu Umno untuk kembali ke landskap asal, yang lebih baik dan untuk bersama-sama rakyat memperjuangkan agenda orang Melayu Islam dan keseluruhan rakyat negeri Johor,” katanya.

Pada 27 Jan lalu Ketua Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang, mengesahkan dia tidak lagi bersama parti berkenaan dan kini menyokong Hasni Mohammad sebagai menteri besar.

Sebelum DUN Johor dibubarkan pada 22 Jan lalu, Mazlan merupakan Adun Puteri Wangsa.


No comments: