1. Baguslah kalau sudah sedar dan mengaku yang pelaksanaan sistem Radio Frequency Identification (RFID) di seluruh Lebuh Raya Utara-Selatan gagal mencapai matlamat malah menyusahkan pengguna.
2. Dilaporkan yang PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah atau akan mengaktifkan semula lorong SmartTAG yang sebelum ini ditutup di beberapa plaza tol bagi digantikan dengan lorong RFID.
3. Itulah, lain kali jangan sombong dan berasa diri pandai sangat semata-mata kerana ada kuasa. Dalam dunia di mana pengguna boleh bersuara melalui media sosial, kelemahan dan kehambaran mudah didedahkan.
4. Utamakanlah kepentingan pangguna dengan menguji sesuatu kaedah baru di jalan raya bukan syiok sendiri dalam "executive suite" dan bilik lembaga saja atau bergantung semata-mata kepada "public relations hype".
5. Bukan PLUS saja tapi semua pertubuhan perniagaan dan perkhidmatan awam janganlah jadi hamba teknologi sehingga menyusahkan pengguna.
6. Dalam kegilaan memaksimumkan keuntungan, menjimatkan kos dan meringkaskan kerja melalui teknologi maklumat dan "fintech" janganlah abaikan kepentingan golongan masyarakat yang kurang kemampuan di segi teknologi maklumat. Bukan semua orang "computer savvy" atau mahu menjadi hamba teknologi digital.
7. Bagi PLUS, lebih baik berusaha jadikan lebuh raya kelolaannya lebih bersih dan selamat. Minta tolong polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disiplinkan pemandu lori yang berhenti rehat sesuka hati di luar kawasan R&R.
8. Ingatlah, dengan kesesakan lalu lintas yang semakin teruk, pembukaan semakin banyak "interchange" serta stesen minyak, Lebuh Raya Utara-Selatan sudah jadi macam jalan raya biasa. Tidak ada apa-apa lagi yang istimewa.
Sekian. Terima kasih.