TOK MAT SANGGAH HADI AWANG

 

Tanpa terkurang rasa hormat saya kepada Tan Sri Presiden PAS, saya menegaskan bahawa pandangan beliau bahawa UMNO telah memungkiri piagam MN adalah tersasar sebenarnya.

UMNO tidak pernah mungkir pada piagam Muafakat Nasional.

Kepada rakan-rakan dalam PAS, janganlah kita lupa bahawa MN tidak ditubuhkan dengan matlamat PPBM mesti menjadi sebahagian darinya.

Malah salah satu sebab MN itu dibidani kelahirannya ialah untuk menentang PH. PPBM adalah komponen PH waktu itu.

Justeru untuk memaksa UMNO menerima PPBM adalah bercanggahan dengan semangat sebenar MN itu diasaskan.

Apalagi bila mengenangkan bagaimana PPBM bersekongkol dengan DAP dalam menentang UMNO dan menumbangkan Kerajaan pimpinan UMNO.

Kedua, memang benar MN itu harus memayungi semua orang Melayu. Namun sesiapa jua yang ingin kita bawa masuk ke MN mestilah serasi dengan kepentingan UMNO dan PAS.

Piagam MN pula mestilah ditafsirkan selari dengan realiti politik semasa UMNO dan PAS.

Kerana itu UMNO tidak pernah mengajak PKR, Amanah, PUTRA ataupun Pejuang untuk menyertai MN, walaupun mereka juga sebahagian dari ummah yang berkepentingan.

Jujurnya kerana UMNO TIDAK MAHU MENYINGGUNG PAS.

PAS dan seluruh Malaysia telah arif bahawa perwakilan dalam Perhimpunan Agong UMNO memutuskan bahawa, UMNO tidak akan melakukan apa jua kerjasama dengan PPBM. UMNO terikat dengan pendirian ini.

Jadi amatlah munasabah untuk realiti ini difahami dan diterima, sebelum PAS mencadangkan keanggotaan baru dalam MN.

Ketiga, Piagam MN adalah persefahaman yang tidak mengikat. MN pula tidak kita daftarkan.

Sebabnya kerana UMNO mahu orang Melayu melihatnya sebagai wadah untuk semua, dan bukan instrumen politik UMNO dan PAS semata-mata.

Jadi janganlah dek kerana UMNO tidak mahu menerima PPBM, MN itu PAS tinggalkan. Kepentingan orang Melayu dan Islam itu jauh lebih besar dari kepentingan PPBM menyertai MN.

Jadi, janganlah kita melakukan sesuatu yang akhirnya akan menjauhkan lagi orang Melayu daripada MN.

Semoga Tan Sri Presiden PAS akan terus bersama UMNO dalam meneroka pelbagai dimensi baru dalam membangunkan keberdayaan bangsa Melayu, insha Allah.

Dato Seri Utama
Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO

No comments: