JANGAN LUPA : 3 hari lagi nasib Najib akan ditentukan, tetapi negara sudah terbelenggu dengan 1MDB

 





Tiga hari lagi, Mahkamah Rayuan akan bersidang pada 8 Disembeer 2021 ini bagi memutuskan samada untuk mengekalkan hukuman bersalah ke atas Datuk Seri Najib Razak atau pun tidak.

Namun bagi tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin, “Najib masuk penjara atau tidak, hutang 1MDB yang pernah cecah RM50 bilion tetap kita kena bayar.”

Inilah ketentuan nasib rakyat negara ini menjelang 8 Disember ini.

Walaupun Najib telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini, beliau bebas bergerak termasuk keluar negara iaitu Singapura dan berkempen di Melaka.

“Najib masih bebas tapi rakyat jelata telah dibelenggu hutang 1MDB,” kata Kadir menerusi facebook beliau.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan dibelenggu hutang legasi tidak produktif berjumlah RM1 trilion dan perlu menyelesaikan hutang tersebut.

Menteri Kewangan, berkata, hutang dan liabiliti kerajaan meningkat kepada 89.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Daripada jumlah tersebut, 15 peratus daripadanya dalam bentuk komitmen jaminan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Tengku Zafrul.

Bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Selepas menimbangkan semua keterangan, saya mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kesemua tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM 42 juta milik SRC dihadapai tertuduh.

“Saya dengan ini mendapati tertuduh bersalah ke atas ketujuh-tujuh tuduhan,” kata Mohd Nazlan.

Rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman dikenakan terhadapnya membabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) akan diputuskan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember ini.

Tarikh itu dimaklumkan melalui kenyataan media oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya yang dikeluarkan hari ini.

Rayuan Najib akan diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera pada jam 9 pagi.

No comments: