Bukit Bendera diiktiraf rizab biosfera: Tahniah Kerajaan P. Pinang

 

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengisytiharkan Bukit Bendera sebagai kawasan Rizab Biosfera Pulau Pinang.

Kawasan rizab berkenaan merangkumi khazanah hutan yang berusia 130 juta tahun dan melibatkan kawasan sekitar Bukit Bendera termasuklah Taman Botani Pulau Pinang, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal serta dua empangan. 

Rizab Biosfera Bukit Bendera juga merangkumi tiga ekosistem utama iaitu kawasan berhutan, pantai dan marin.

Pengisytiharan tersebut merupakan penghargaan kedua oleh UNESCO kepada Pulau Pinang selepas George Town diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008.

Dalam ucapan tahniahnya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, usaha gigih yang dimulakan empat tahun lalu itu akhirnya berjaya. 

“Syabas kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), The Habitat Penang Hill (The Habitat), Perbadanan Bukit Bendara (PHC), penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) serta beberapa agensi lain di atas kejayaan ini. 

“Ini adalah satu pengiktirafan antarabangsa kepada PHC dan dasar hijau Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta menunjukkan kejayaan dan komitmen dalam pengurusan kawasan berkepentingan biodiversiti dan pelaksanakan pembangunan mampan,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pengiktirafan UNESCO itu akan menjadi batu loncatan buat negeri itu bagi merancakkan lagi agenda pembangunan lestari antara penduduk dan keindahan alam sekitar sebagaimana digagaskan dalam Visi Penang2030.

“Kita (Kerajaan Negeri) juga mengharapkan semangat baru sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini (16 September), dalam usaha kita memulihara dan memelihara flora, fauna, kehijuan alam semulajadi dan warisan budaya yang tidak ternilai bagi Pulau Pinang dan penduduknya,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi. 

No comments: