Buka sekolah ikut data, bukan fasa, pakar gesa KPM

 

Menurut pakar KPM dengan nasihat KKM dan MKN boleh membuka dahulu sekolah di daerah yang mencatatkan kes rendah atau tiada kes, tanpa mengikut fasa.

PETALING JAYA: Pembukaan sekolah mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 3 Okt ini sudah tidak lagi relevan, sebaliknya Kementerian Pendidikan (KPM) harus mempertimbangkan pembukaan sekolah menggunakan data kes mengikut mukim atau daerah, kata seorang pakar pendidikan.

Pensyarah kanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad berkata, menggunakan data kes mengikut mukim atau daerah sebagai asas pembukaan sekolah dilihat lebih selamat dan tepat memandangkan pelajar serta murid di bawah 18 tahun masih ketinggalan jauh dalam kumpulan penerima vaksin.

“Sebab itu menggunakan fasa-fasa PPN sebagai asas pembukaan sekolah adalah kurang sesuai. Sepatutnya KPM menggunakan data kes mukim atau daerah sebagai asas membuat keputusan pembukaan sekolah. Itu lebih selamat dan tepat,” katanya kepada FMT.

Ketika ini, Kedah dan Johor masih di bawah Fasa 1 PPN, manakala Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah serta Melaka di bawah Fasa 2, manakala Negeri Sembilan, Perlis dan Sarawak pula sudah beralih ke Fasa 3, dengan hanya Labuan di bawah Fasa 4.

Pada 12 Sept lalu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan sekolah di negeri bawah Fasa 1 dan 2 PPN kekal ditutup, manakala Fasa 3 dan 4 dibuka mengikut jadual pada 3 Okt ini dengan kehadiran pelajar di sekolah adalah 50% daripada enrolmen keseluruhan secara penggiliran setiap minggu.

Ini bermakna, setiap kelas akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu secara bersemuka serta pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), yang bergilir-gilir setiap minggu.

Mengulas lanjut, Anuar memberi contoh situasi jangkitan Covid-19 di Sarawak yang masih tinggi walaupun negeri berkenaan sudah berada di dalam Fasa 3 PPN.

“Sedangkan kes di Sarawak masih tinggi, hanya beberapa daerah/bahagian sahaja di Sarawak yang menunjukkan kes harian yang rendah dan terkawal seperti Maradong, Konawit, dan Julau dengan masing-masing empat, Matu (tiga), Lundu, Mabong, dan Telang Usan, masing-masing dua serta Beluru (enam).

“Manakala daerah lain masih sangat tinggi seperti Kuching (1,866 kes harian). Tetapi oleh kerana Sarawak berada di negeri Fasa 3, KPM membenarkan sekolah di Kuching dibuka,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambahnya lagi, ia tidak selari dengan apa yang berlaku di Johor yang kini masih dalam Fasa 1, di mana terdapat mukim yang langsung tidak merekodkan kes harian namun sekolah masih tidak dibenarkan dibuka.

“Misalnya mukim Kundang, Pulau-Pulau, Sembrong dan Kambau (masing-masing tiada kes). Begitu juga di negeri Fasa 2 seperti Selangor ada mukim kes harian adalah sifar tetapi sekolah diarahkan kekal ditutup seperti mukim Hulu Tinggi, Sungai Gumut, Sungai Tinggi dan Kuala Kalumpang.

“Maksudnya dalam sesebuah negeri, akan ada daerah yang kadar jangkitan adalah rendah dan terkawal. Jadi KPM dengan nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara boleh membuka dahulu sekolah di daerah tersebut,” tegasnya.