PM DIINGATKAN MOU TERBATAL JIKA ASAS PERLEMBAGAAN TERJEJAS

 

DAP ingin menyatakan kebimbangan terhadap keputusan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memilih Zamri Yaakob, abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, sebagai Pengerusi baru mereka.

Walaupun Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Transformasi dan Kestabilan antara Perdana Menteri dan PH tidak menyebut sebarang perkara mengenai pelantikan Kabinet atau GLC, tidak ada keraguan bahawa pelantikan yang berbentuk habuan politik sebagai pertukaran untuk sokongan, konflik kepentingan atau nepotisme akan meningkatkan pengawasan atau keraguan yang lebih besar mengenai komitmen kerajaan terhadap reformasi institusi yang disebut di dalam MOU.

MOU berkenaan tertumpu pada Pelan Reset COVID-19 Negara untuk mengatasi kegagalan masa lalu bagi mengurus pandemik COVID-19 dengan lebih baik supaya membolehkan ekonomi dibuka semula dan Rancangan Pemulihan Ekonomi RM45 bilion untuk mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan serta bidang-bidang reformasi institusi yang dipersetujui oleh kerajaan dan PH.

Walaupun MOU berkenaan tidak meliputi bidang-bidang lain yang tidak disebutkan, izinkan saya menyatakan dengan tegas bahawa jika hak-hak asas perlembagaan terjejas, MOU berkenaan juga akan berhenti berkuat kuasa dan terbatal.

Hak-hak asas perlembagaan ini akan merangkumi sebarang percubaan untuk menggugat hak orang Islam dan status agama Islam serta hak orang bukan Islam dan kebebasan beragama bagi mengamalkan agama mereka sendiri di kalangan orang bukan Islam.

Kumpulan rasis dan ekstremis dalam kerajaan perlu menghentikan niat untuk melaksanakan undang-undang Syariah kepada orang bukan Islam atau menyekat amalan agama mereka berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Menyentuh hak perlembagaan rakyat Malaysia, sama ada orang Islam atau bukan Islam, bukan cara “Keluarga Malaysia” yang didukung oleh Perdana Menteri.

LIM GUAN ENG

Setiausaha Agung DAP.



No comments: