Wednesday, May 20, 2020

BAJU PERCUMA : ‘Sepasang pakaian membawa senyuman menjelang Aidilfitri’



Dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), pastinya ramai yang menghadapi tekanan kewangan tambahan pula dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Sehubungan itu, Pejabat Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung telah menjalankan inisiatif Projek Baju Raya yang bertujuan untuk meringankan beban penduduk tempatan menjelang perayaan tersebut.
Konsepnya, adalah untuk memberi pakaian satu nafas baru iaitu berkonsep tema kitar semula. Semua pakaian dibungkus dalam kertas beg yang juga kutipan daripada orang awam.
Pakaian tersebut merupakan sumbangan ikhlas daripada orang awam meliputi pakaian bayi ke dewasa. Lebih daripada 1,000 helai baju yang masih elok, cantik dan bersih disediakan untuk penerima yang memerlukan.
“Kami percaya ‘sepasang pakaian membawa senyuman’. Harap dengan ini, kami dapat membantu meringankan beban penduduk di samping memberi kegembiraan,” jelas Cai Tung.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang pakaian yang sudi menghantar pelbagai jenis baju kepada pejabatnya.
Dalam tempoh satu minggu, jelas beliau, pihaknya berjaya mendapat kira-kira 1,000 pasang baju termasuk baju kurung, baju Melayu, jubah, kain tudung/sampin, baju kanak-kanak , kemeja T dan sebagainya.
Cerita manis
Dimulakan pada Ahad lalu dan dilanjutkan sehingga hari ini, Projek Baju Raya memperoleh sambutan yang baik daripada masyarakat. Terdapat banyak cerita manis yang berlaku.
Seorang pak cik telah datang seorang diri dan mula memilih baju kurung. Setelah beberapa minit, pak cik berkenaan mengambil baju yang dipilihnya dan datang ke kaunter untuk pembungkusan.
“Pak cik, pilih untuk isteri ke? Kenapa isteri tak ikut?” tanya pasukan Pejabat Adun Johor Jaya.
“Saya pilih untuk kakak saudara, dia OKU dan duduk seorang,” jawabnya.
“Pak cik tak nak pilih untuk sendiri ke?” soal pasukan itu lagi.
“Tak payah. Kami dah syukur dan cukup. Biar bagi orang yang lebih susah.” jawabnya.
Jelas Cai Tung, apabila pihaknya memulakan program itu, ada yang menganggap, ‘Oh, ia percuma pasti orang datang ambillah. Tak perlu bayar, ambil sahaja’.
Namun begitu, tambahnya, bukan semua orang berfikir sebegitu.
“Terdapat ramai lagi yang bersyukur dengan apa yang ada dan berhemah tinggi. Sikap ini perlu ditanam di setiap lapis masyarakat, dan inilah apa yang kita perlu mendidik generasi akan datang,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyertai Projek Baju Raya boleh menghubungi Cik Zulaikha di talian 012-2601758 dengan segera.



No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers