Malaysia bangkit: PH perlu dakap agenda rakyat


Oleh Nor Miswary Ramli
(Timbalan Pengerusi DAP cawangan USJ, Subang Jaya)
Selepas tulisan saya mencadangkan Pakatan Harapan (PH) melancarkan semula gabungan ini dengan memperbaharui semula tekad, telah timbul pula persoalan yang lain; apakah cukup hanya sekadar melancarkan semula – sekadar membuat penjenamaan baharu — namun kita masih kekal dengan watak politik dan agenda yang sama kalaupun terdapat beberapa perubahan kecil yang diperindah dan ditokok-tambah hanya untuk sedap didengar tetapi langsung tidak benar-benar memberi kesan kepada rakyat?
Memadaikah untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan hanya menyalin kulit baju sahaja sedangkan kita sebenarnya tidak mengubah apa-apa pun?
Sebelum itu, harus juga saya sebutkan di sini bahawa ini merupakan pandangan peribadi saya sahaja dan bukannya pendirian parti DAP yang saya sertai.
Saya cuma ingin berkongsi pandangan yang dipungut dan dibentuk-bentuk dengan sebegini rupa bagi menyampaikan hasrat mereka yang terlantar bertaburan di sekeliling saya kesan daripada beberapa siri pengkhianatan yang berlaku dalam negara. Tidak lain, tulisan ini niatnya hanya untuk mencapai kebaikan bersama.
PH perlu agenda lebih besar
Setelah apa yang berlaku dari satu negeri ke satu negeri, kemudian di peringkat Persekutuan, dari rakaman audio bahagian satu dan dua, sehinggalah kepada rakaman audio mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam mendedahkan siapa yang gelojoh dan siapa yang gopoh.
Adakah rakyat hanya sekadar layak menonton, duduk mencangkung melangut dengan mulut ternganga menunggu disuap dan dipaksa telan semuanya mentah-mentah? Menunggu untuk dicatur-catur sesedap rasa pemimpin? Adakah hanya setakat itu sahaja hak rakyat yang boleh kita banggakan? Rakyat perlu tahu yang mereka ada hak yang jauh lebih besar daripada itu.
Melancarkan semula PH bukan sekadar cadangan seronok-seronok. Ia mesti datang dengan keberanian dan bersifat perubahan yang radikal. Masa untuk sekadar tukar baju sedangkan isinya masih sama seperti sesetengah parti politik, sudah tamat (sepatutnya telah lama tamat). Struktur PH berbeza dengan struktur kepimpinan parti komponen
Dari kesemua parti komponen PH – PKR, DAP dan Amanah – mereka mempunyai pemimpin pelapis yang mesti diketengahkan dan diletakkan di barisan hadapan. Letakkan mereka ini di hadapan sekarang. Hari ini juga. Tidak perlulah saya menyebut satu demi satu siapa mereka ini. Pembaca lebih mengetahuinya berbanding saya. Malah kepimpinan parti masing-masing lebih mengetahuinya berbanding saya.
Namun, perlu diingatkan di sini yang cadangan ini tidaklah sampai merombak struktur kepimpinan dalam parti komponen masing-masing. Tidak. Ia cuma bersifat perubahan kecil di dalam struktur kepimpinan PH sahaja, kalaupun tidak seratus peratus. Struktur kepimpinan di dalam parti komponen masing-masing kekal seperti sedia kala.
Analoginya begini. Ada pemain bolasepak negeri yang bermain untuk pasukan kebangsaan. Ada yang tidak. Dalam pasukan negeri, mereka ini boleh jadi hanya duduk di bangku simpanan sahaja, tetapi masih boleh dibariskan dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan atas
kemahiran tertentu yang mereka ada.
Selain menjadikan pasukan kebangsaan lebih kuat, ia juga mampu menarik semangat penyokong untuk ke stadium, beratur panjang membeli tiket dan bersorak di depan kaca televisyen. Ada yang cekap dan tangkas bermain di peringkat tempatan tetapi gagal di peringkat antarabangsa dan begitulah sebaliknya.
Cadangan ini bukanlah semberono. Semua ini hanya bertujuan mengubah mood rakyat yang agak gelisah dan timbul tenggelam semangat mereka. Ini juga bermakna PH mendengar dan cakna kepada kehendak rakyat yang mahukan watak yang lebih segar, mewakili semua bangsa, mahu dilihat lebih bertenaga dan mendahului zaman.
Tidak keterlaluan jika dibayangkan akan wujud sebuah struktur baharu kepimpinan PH yang sama sekali berbeza (kalaupun tidak secara keseluruhannya) dan tidak dipengaruhi oleh struktur di dalam parti komponen masing-masing. Parti masing-masing pula boleh memberi mandat kepada mereka ini. Malah rakyat kemudiannya akan menilai dan
melihat betapa PH sebenarnya tidak pernah ketandusan pemimpin.
Slogan baharu
PH mesti bersedia menjadi kerajaan tanpa salah satu daripada mana-mana parti komponen yang pernah bersama sebelum ini. Atau setidak-tidaknya mempunyai perancangan mentadbir tanpa mereka.
Pelajaran terbesar yang kita perolehi daripada siri pengkhianatan ialah betapa prinsip setiakawan dan keikhlasan dalam perjuangan bukanlah mahal harganya buat sesetengah pemimpin. Ada yang bersedia menukarnya seperti barang dagangan tanpa rasa malu dan tanpa harga diri demi seketul dua jawatan kabinet.
Agenda reformasi, selamatkan Malaysia dan kerajaan anti-kleptokrasi atau apa sahaja slogan yang telah diguna pakai sebelum ini perlu diberi nama baharu, atau setidak-tidaknya dijenamakan semula.
Namakan semua agenda yang bercampur aduk ini dengan sebuah slogan tunggal yang bersifat merakyatkan ekonomi, mengutamakan kepentingan sosial rakyat terbanyak, menyeluruh sehingga ke Sabah dan Sarawak dan fleksibel. Pertaruhkan sebuah slogan baharu yang boleh diterima sebagai agenda rakyat, yang benar-benar memberi makna dan bukannya agenda yang hanya untuk memuaskan nafsu sekerat dua pemimpin sahaja.
Semua anggota parti komponen dalam PH haruslah secara konsensus bersetuju menggunakan slogan tunggal ini sebagai agenda dalam pentadbiran atau sehingga pilihan raya umum yang akan datang. Jual dan pasarkan slogan tersebut sekarang sampai kita menang.
PH harus bangkit semula daripada siri pengkhianatan yang mengecewakan ini. Masa untuk bertahan telah tamat. Telah tiba masanya kita menyerang semula. Malaysia bangkit!