Undi anak muda dibakulsampahkan oleh YB penghianat?

Undi anak muda dibakulsampahkan oleh YB penghianat?



Pilihan Raya Umum ke-14 merupakan PRU yang menjadi tumpuan umum berikutan ketidakstabilan politik sejak tsunami politik melanda negara pada tahun 2008. Sejak tumbangnya 5 negeri ke tangan pakatan pembangkang termasuk mengekalkan kerajaan negeri Kelantan oleh Pas, suhu politik negara sentiasa panas. Situasi itu ditambah pula apabila pakatan pembangkang ketika itu diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjalinkan kerjasama secara rasmi atas nama Pakatan Rakyat (PR) bersama Pas dan DAP.
Gelombang itu diteruskan semasa PRU ke-13 apabila PR berjaya mendapat jumlah undi lebih banyak berbanding BN, namun gagal membentuk kerajaan kerana kurang jumlah kerusi yang dimenangi. Setelah perginya Almarhum Tuan Guru Nik Aziz kepada sang pencipta dan Anwar Ibrahim dimasukkan ke penjara, PR berpecah dan digantikan oleh Pakatan Harapan (PH). PH yang masih dalam keadaan tercari-cari nakhoda kapal mereka, munculnya Tun Dr.Mahathir melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Empat parti ini bersepakat menjatuhkan kerajaan kleptokrasi dalam PRU ke-14.
Situasi politik yang semakin rancak ini telah membuka mata seluruh rakyat Malaysia untuk mengamatinya secara dekat. Kesedaran rakyat Malaysia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara dengan cara mengundi dalam PRU semakin tinggi. Lihat sahaja pada data perangkaan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), apabila pengundi yang berumur 21 hingga 39 tahun merangkumi 42 peratus dari jumlah pengundi berdaftar termasuk pengundi yang bakal mengundi kali pertama dianggarkan 20 peratus. Data ini merupakan data yang dikeluarkan SPR sehingga Jun 2017.
Berdasarkan keputusan di setiap peti undi dalam PRU ke-14, didapati saluran yang menempatkan pengundi-pengundi muda hampir kesemuanya dikuasai oleh PH. PH yang menggunakan logo PKR, telah berjaya menguasai hampir keseluruhan peti undi di saluran pengundi muda. Ternyata kesedaran pengundi muda untuk menyertai pesta demokrasi ini juga didorong untuk melakukan perubahan kepada kepimpinan negara. Semangat yang digunakan oleh PH untuk melakukan perubahan kepada negara dan menjatuhkan kepimpinan kleptokrasi berjaya mempengaruhi pengundian pengundi muda.
Dapat dilihat bahawa pengundi muda bertekad untuk mencuba sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak negara merdeka. Setiap undi yang diberikan oleh pengundi muda ini merupakan satu aspirasi dari anak muda yang mahu melakukan perubahan kepada negara. Walaupun calon Perdana Menteri dari PH merupakan mantan Perdana Menteri dari BN, tetapi kepimpinan PH sendiri yang terdiri dari golongan profesional pembangkang mengujakan pengundi muda untuk mencuba sesuatu yang baru. Aura Tun Dr. Mahathir yang diadun dengan karisma pemimpin PH serta gelombang yang dibina oleh Anwar Ibrahim sejak 2008, menjadikan pengundi khususnya pengundi muda berani melakukan perubahan.
PH bersama rakan sekutunya Warisan berjaya membentuk kerajaan Persekutuan termasuk di Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Melaka, dan Johor termasuk Sabah selain berjaya mengekalkan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor. Sejak itu, anak muda khasnya tidak hanya menjadi pemerhati kepada situasi politik negara namun kini mereka terlibat sama dengan cara menegur atas kekurangan kerajaan sebagai netizen. Setelah 22 bulan memimpin kerajaan, kerajaan PH ditumbangkan oleh pengkhianat dalam PH sendiri. Pelbagai alasan yang digunakan untuk menghalalkan tindakan mereka. Musuh politik PH terus menjalinkan kerjasama dengan kumpulan pengkhianat ini untuk membentuk kerajaan baru.
Sesungguhnya perbuatan ini sangat mengejutkan ramai pihak. Anak muda yang telah memberikan undi dan kemenangan kepada PH untuk mentadbir negara terasa undi mereka dibakulsampahkan oleh wakil rakyat pengkhianat ini. Kita harus memahami bahawa undi yang diberikan oleh anak muda adalah kepada calon yang memegang logo PKR, setiap calon yang menang pastinya dipengaruhi oleh logo yang mereka gunakan. Oleh itu, anak muda memberi keyakinan sepenuhnya kepada PH untuk mentadbir negara, manakala BN diberi peluang mentadbir Perlis dan Pahang serta Pas pula di Kelantan dan Terengganu. Ini adalah keputusan yang dibuat oleh rakyat melalui PRU ke-14, tetapi ia dikhianati oleh wakil rakyat dari PH yang bergabung bersama pakatan pembangkang yang kalah dalam PRU ke-14. Keputusan yang dibuat oleh rakyat Malaysia khususnya anak muda dibelakangi oleh wakil rakyat pengkhianat ini. Undi kita berada dalam tong sampah hanya kerana mengikut kepentingan wakil rakyat mereka.
Pengkhianatan yang berlaku berjaya menjadikan mereka sebuah kerajaan yang dibentuk bukan melalui PRU. Gambaran ini sangat jelas bahawa PRU tiada makna yang besar jika dengan cara melompat parti sahaja boleh membentuk kerajaan. Tidak perlu menunggu PRU untuk menukar kerajaan, cukup sahaja dengan melompat parti, jadi apa makna undi yang kita berikan dalam PRU? Andaikan sebuah kawasan mempunyai 6000 pengundi, hampir 70% atau 4200 pengundi mengundi calon PH sehingga memenanginya.
Keputusan ini membuktikan bahawa majoriti pengundi kawasan tersebut memilih PH. Namun pada setengah penggal, wakil rakyat yang mewakili PH melompat ke pakatan yang kalah dalam PRU, adakah kedudukan wakil rakyat yang berada bersama pakatan yang kalah PRU itu merupakan aspirasi dari pengundi kawasan mereka? Pastinya tidak kerana mereka majoriti mengundi PH bukan pakatan yang kalah PRU. Beratur begitu lama untuk memberikan peluang kepada PH, jadi tiada makna setelah wakil rakyat ini melompat ke pihak lain.
Kita akui bahawa semasa PH memerintah dalam tempoh 22 bulan, terdapat kelemahan-kelemahan tertentu. Hampir sejumlah besar wakil-wakil rakyat PH yang menjadi pentadbir kerajaan merupakan orang baru dalam kerajaan serta kurang pengalaman sebagai pemimpin kerajaan. Walau bagaimanapun perkembangan kepada peningkatan prestasi pemimpin PH ini adalah sangat tinggi, manakala Tun Dr. Mahathir sendiri mengakui bahawa walaupun PH baru dalam memerintah tetapi PH dan Malaysia sudah berada dilandasan yang betul untuk mencapai negara maju.
Kelemahan-kelemahan ini tidak menghalalkan wakil-wakil rakyat ini melakukan pengkhianatan kepada undi rakyat. Perjanjian demokrasi adalah parti yang majoriti menang mentadbir selama sepenggal atau 5 tahun, maka anak muda sebagai pengundi boleh bertahan dengan tempoh itu walaupun parti memerintah mempunyai kelemahan. Yang tidak sabar itu adalah wakil-wakil rakyat yang mempunyai agenda peribadi untuk dinobatkan sebagai pemimpin utama kerajaan tanpa melalui pilihan raya.
Oleh yang demikian, anak muda harus bersama-sama untuk menolak wakil-wakil rakyat pengkhianat ini jika mereka tercalon semula dalam PRU yang akan datang. Hal ini kerana anak muda menganggap undi mereka telah digunakan sewenang-wenangnya untuk oleh wakil rakyat pengkhianat. Anak muda hari ini bukan bahan dagangan yang boleh diguanakan oleh wakil rakyat pengkhianat untuk mendapat keuntungan peribadi.
Wakil rakyat pengkhianat ini sudah mula mendapat petunjuk bahawa mereka akan ditolak dalam PRU akan datang apabila mereka menubuh kumpulan NGO untuk mendapatkan semula sokongan anak muda. Mereka dengan mudah meminta agar rakyat melupakan perkara yang berlaku dan kembali bersatu untuk memajukan negara. Itulah alasan yang digunakan oleh wakil rakyat pengkhianat ini, iaitu untuk masa depan negara. Sedangkan rakyat terutamanya anak muda memilih PH sebagai penggerak kemajuan masa depan negara bagi penggal ini bukan kepada parti yang kalah!! Bagaimana sekarang parti yang tidak dipilih oleh rakyat khususnya anak muda boleh menjadi kerajaan pula? Ini yang menjadikan undi kita sia-sia.
Akhirnya, anak muda harus terus meningkatkan kesedaran politik mereka seperti sebelum PH memerintah, agar anak muda mampu membuat keputusan yang benar-benar tepat untuk memilih pemimpin mereka. Kita berkeyakinan bahawa setelah apa yang berlaku, anak muda merasa undi yang mereka berikan kepada wakil rakyat pengkhianat ini telah disia-siakan. Anak muda harus bersatu dengan celik politik yang ada untuk menolak wakil rakyat pengkhianat pada PRU akan datang.
* Syazmir Haris Noorazlan adalah AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor dan Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak.

No comments: