SIAPA CALOM PM DAN TPM PENYATUAN UMMAH (PENYAPU)




Tujuan sebenar kerjasama UMNO dan Pas adalah untuk menumbangkan PH dan seterusnya menjadi kerajaan selepas PRU akan datang bukanlah sesuatu yang rahsia.
Jika diteliti, sudah ramai pemimpin kedua-dua parti yang berkata dengan maksud sedemikian.
Misalnya, Mohd Kharuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus pernah berkata, kerjasama UMNO dan Pas mampu memenangi sekurang-kurangnya 125 kerusi Parlimen pada PRU15 akan darang.
Malah, kata beliau, jika diambil kira beberapa kerusi lain yang mempunyai margin kurang 1000 undi, jumlah kemenangan boleh meningkat sehingga 138 kerusi.
“Atas asas itulah kerjasama ini menguntungkan kedua-dua parti,” ujar beliau yang juga Timbalan Pengarah, Institut Penyelidikan dan Strategi Pas.
Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa pula berkata, kerjasama yang akan dimetrai melalui piagam yang akan ditandatangani pada 14 September ini adalah bertujuan membina sesuatu yang kental dan tulen untuk masa depan Malaysia.
“Sebagai dua buah parti yang telah melalui pasang surut dan suka duka politik tanah air, UMNO dan PAS akan bergabung tenaga secara jujur lagi luhur untuk membawa penyelesaian kepada aspirasi rakyat yang selama ini hampa dan mengecewakan,” ujar beliau.
Dengan kata lain, selain ingin menumbangkan PH, kerjasama UMNO dan Pas juga seolah-olah mahu menyajikan masa depan yang lebih cerah untuk rakyat dan negara selepas PRU akan datang.
Untuk itu, siapakah calon Perdana Menteri penyatuan ummah yang dirasakan mampu menjelmakan masa depan yang cemerlang untuk negara itu?
Adakah Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang kini berdepan 87 pertuduhan mahkamah berkaitan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram akan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri?
Adakah Najib Razak, Pengerusi Lembaga Penasihat BN yang kini sedang berdepan kira-kira 50 pertuduhan mahkamah berkaitan skandal 1MDB dan yang menjadi penyebab BN tumbang pada PRU14 lalu, sekali lagi bakal dinamakan sebagai calon Perdana Menteri?
Ataukah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan sebenarnya merupakan calon Perdana Menteri pilihan penyatuan ummah?
Mungkinkah Tengku Razaleigh Hamzah, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO akan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, terutama jika Zahid Hamidi dan Najib didapati bersalah sebelum PRU15 dan terpaksa mendekap di penjara?
Siapa pula calon Timbalan Perdana Menteri penyatuan ummah?
Adakah Hadi Awang?
Atau Tuan Ibrahim Tuan Man?
Bolehkah UMNO dan Pas segera menamakan calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pilihan mereka agar mudah rakyat membuat perbandingan serta pertimbangan? (Shahbudindotcom 10/09/2019)


No comments: