SEBELUM PENYATUAN UMMAH MENJADI ANCAMAN PERALIHAN KUASA HARUS DISEGERAKAN.



Kerjasama UMNO dan Pas dengan tema penyatuan ummah akan dimetrai secara rasmi pada 14 September ini di PWTC, Kuala Lumpur.
Sehingga ini masih belum pasti sama ada tema penyatuan ummah akan dikekalkan atau ditukar kepada penyatuan nasional yang dikatakan bertujuan menampakkan ia lebih inklusif.
Tetapi, apa pun temanya, kerjasama dua parti Melayu terbesar itu dijangka akan memberi saingan yang hebat kepada PH dalam PRU akan datang.
Bahkan, dalam waktu yang sama akan memberi ancaman terutama kepada Bersatu dan Amanah yang juga merupakan parti Melayu,
Oleh itu, PH tidak harus memandang ringan berkenaan kerjasama ini, terutama jika selepas perhimpunan pada 14 September nanti, UMNO dan Pas terus mengadakan siri himpunan secara berterusan untuk membangkitkan semangat rakyat sebagaimana Himpunan Bersih sebelum ini.
Jika Himpunan Bersih berjaya menumbangkan BN, tidak mustahil himpunan penyatuan ummah yang digerakkan secara berterusan serta sistematik juga mampu menumbangkan PH.
Maka, apa perancangan PH untuk membendungnya?
Apakah mereka harus berdiam diri saja menyaksikan himpunan demi himpunan dianjurkan UMNO dan Pas sehingga menjelang PRU yang bakal diadakan tahun 2023 akan datang?
Bagaimana untuk mendepani kebangkitan rakyat yang mungkin berlaku itu?
Sebenarnya ada dua perkara utama yang tidak boleh diabaikan oleh PH kalau mahu melawan kerjasama penyatuan ummah yang digerakkan UMNO dan Pas itu.
Pertama, PH mesti mulai sekarang berusaha dengan lebih keras menunaikan janji-janji manifesto PRU14 yang lalu.
Janji yang ditunggu-tunggu seperti menghapuskan tol, berkaitan PTPTN dan Felda khususunya tidak boleh ditangguh-tangguh lagi untuk dilaksanakan.
Sebagaimana PH berani berjanji tentang perkara-perkara tersebut ketika mahu mendapatkan undi, mereka juga mesti berani menunaikannya setelah kuasa ada dalam tangan sekarang.
Jika tidak, terlalu sukar untuk PH mampu memenangi PRU15 akan datang.
Kedua, Tun Mahathir Mohamad juga kini tidak ada pilihan selain mesti menunaikan janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun sebagaimana yang telah dijanjikan.
Melengah-lengahkan janji penyerahan jawatan hanya akan menghakiskan lagi kepercayaan rakyat kepada PH di mana himpunan penyatuan ummah dijangka akan terus mendapat sambutan hangat berdasarkan janji yang tidak ditepati itu.
Selagi Tun Mahathir masih bersikap kabur dengan janji penyerahan jawatan kepada Anwar, selagi itu wujud tanggapan buruk bahawa jika janji kepada seorang individu pun mudah dimungkiri, apalagi janji kepada 32 juta rakyat Malaysia.
Tambahan lagi, setelah 15 bulan menjadi Perdana Menteri, ketidak-upayaan beliau memulihkan negara nampaknya semakin ketara, selain hal-hal berkaitan perniagaan anak-anaknya turut timbul semula kebelakangan ini.
Ini tentunya akan menjadikan suatu alasan yang mudah untuk himpunan penyatuan ummah terus mendapat sambutan sehinggalah isu peralihan kuasa itu dapat diselesaikan.
Sebaliknya, jika berlaku perubahan kepimpinan dengan Anwar menjadi Perdana Menteri baru menjelang Mei 2020 akan datang atau sebelum tarikh itu, nafas baru dalam negara dipercayai dapat dijelmakannya dengan segera.
Biasanya, dengan berlakunya peralihan kuasa, Perdana Menteri baru turut muncul dengan idea, program serta pendekatan baru yang segar yang lebih mampu menambat hati rakyat.
Apatah lagi, Anwar adalah merupakan pencetus kebangkitan reformasi sejak 1998 sehinggalah BN akhirnya berjaya ditumbangkan pada 2018, dalam kepalanya tentu sarat dengan idea-idea segar untuk kebaikan masa depan negara.
Dengan itu, suhu himpunan penyatuan ummah lebih mudah dapat disejukkan dan seterusnya memberi lebih harapan untuk PH mengekalkan kuasanya dalam PRU15 itu. (Shahbudindotcom 09/09/2019)

No comments: