‘Tanpa MCA, MIC, logo BN mansuh’
MIC hari ini menyelar Nazri Aziz kerana membuat kenyataan ‘lucu’ mengenai kedudukan parti komponen BN dan sekali gus menunjukkan setiausaha agung BN itu sebagai mabuk kuasa.
Anggota Jawatankuasa Kerja MIC, M Veeran, berkata walaupun mempunyai pengalaman lama dalam kerajaan dan parti Nazri jelas tidak memahami realiti yang ada pada BN.
“Saya percaya Nazri ini mabuk kuasa sehingga tak faham status terkini BN.
“Untuk sesebuah gabungan terus wujud, mesti ada sekurang-kurangnya dua parti.
“Buat masa ini, BN cuma ada tiga parti saja, kalau MCA dan MIC keluar, maka akan tinggal Umno semata-mata dan secara automatik pendaftaran BN akan terbatal,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Tambah Veeran, dalam keadaan begitu Umno mungkin tidak lagi boleh menggunakan logo dacing pada pilihan raya akan datang.
Katanya keadaan akan menjadi lebih sulit jika MCA dan MIC merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“Jadi, siapa joker di sini? Nazri atau MCA dan MIC?” tanya beliau lagi.
Veeran mengulas sikap Nazri yang dilaporkan tertawa besar apabila diberitahu MCA dan MIC merancang untuk menendang keluar Umno daripada gabungan BN semalam.
Pada sidang media itu Nazri yang juga anggota parlimen Padang Rengas berkata beliau tidak risau dengan perkembangan itu kerana mengikut persefahaman dalaman BN, mana-mana usul tidak boleh diterima jika ada salah satu parti komponen menolaknya.
Kata Nazri beliau sangat gembira mengetahui MCA dan MICA mahu mengorak langkah ke hadapan dan Umno boleh mencari rakan sekutu bukan Melayu lain bagi menggantikan kedua-dua parti terbabit.
“Kami boleh kerjasama dengan IPF dan Kimma serta kami boleh membuka keanggotaan untuk individu Cina dan India untuk menjadi ahli BN,” katanya.
Isu kedudukan MCA dan MIC semakin panas sejak semalam selepas kedua-dua parti dilaporkan tidak senang dengan kenyataan dibuat Nazri kerana dianggap bersifat perkauman.
Hubungan akrab Umno dengan PAS juga menjadi salah satu faktor mengapa MCA mengusulkan agar BN dibubarkan.
Bagaimanapun untuk rekod, kira-kira tiga bulan selepas PRU ke-14 berakhir pemimpin tertinggi PAS dan MIC mengadakan pertemuan menjelang PRK Seri Setia.
Hasil pertemuan itu kedua-dua parti menyatakan kesediaan untuk bekerjasama demi kepentingan bersama.
Veeran berkata kenyataan bahawa MCA dan MIC mahu mengorak langkah ke hadapan tidak semestinya bermaksud kedua-dua parti keluar daripada BN.
“Nazri terlupa bahawa hanya MCA dan MIC merupakan dua pengasas BN bersama beberapa parti lain, bukannya Umno baru yang ada sekarang.
“Apakah Nazri lupa, Umno hari ini hanya menjadi komponen BN pada 1988 sedangkan BN ditubuhkan oleh MCA, MIC dan Umno lama pada 1973?
“Jadi, peluang MCA dan MIC kekal dalam BN lebih besar berbanding Umno.
“Saya menasihatkan beliau, janganlah sesekali berangan-angan untuk merampas BN daripada MCA dan MIC. Kalau kami ketuk pintu ROS, kita tahulah nasib Umno,” katanya.
Veeran bagaimanapun memberitahu bahawa kemarahan MIC hanya terhadap pemimpin rasis Umno seperti Nazri sahaja