UNTUK JADI PENGGANTI TUN MAHATHIR, ANWAR HARUS BANYAK BERSABAR



Isu kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 dan bakal pengganti kepada Tun Mahathir Mohamad tidak seharusnya menjadi perdebatan, apatah lagi diragui oleh mana-mana pihak.

Ini kerana soal itu sebenarnya sudah pun selesai sebelum PRU14 lagi di mana telah ada permuafakatan dan persefahaman di kalangan semua parti dalam Pakatan Harapan untuk Tun Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri itu kepada Anwar Ibrahim.

Malah seperti pernah diakui oleh Anwar sendiri,  permuafakatan itu juga dibentuk dalam satu perjanjian yang bertulis.

Dalam erti kata lain, kedudukan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri kali ini adalah berbeza dengan ketika beliau dalam UMNO dan memegang jawatan Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri dahulu.

Ketika itu tidak ada langsung persefahaman atau perjanjian bahawa beliau mesti menjadi Perdana Menteri selepas Tun Mahathir.

Kedudukan Anwar sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan ketika itu hanyalah secara konvensyen saja dianggap sebagai bakal Perdana Menteri.

Jadi, berdasarkan itu memang tidak logik jika masih ada pihak berasa bimbang sama ada Anwar dapat jadi Perdana Menteri atau sebaliknya.

Jika pihak UMNO atau Pas yang mereka-reka cerita berkenaan perkara itu, ia mungkin boleh difahami kerana mereka ada perasaan dengki dan cuba melaga-lagakan bukan saja antara Anwar dengan Tun Mahathir, bahkan jika boleh, mahu melihat hubungan mesra antara parti dalam Pakatan Harapan turut berkecai sama.

Lebih anih, mengapa pihak yang risau dan bimbang tentang kedudukan Anwar itu datang daripada PKR sendiri?

Apakah mereka tidak percaya kepada parti sendiri yang terlibat secara langsung dalam persefahaman tersebut?

Di mana logiknya Azmin yang sejak dalam UMNO lagi bersama dengan Anwar dan kemudian menjadi sebahagian tulang belakang PKR, tiba-tiba dikaitkan dengan usaha menolak Presiden PKR itu daripada menjadi Perdana Menteri?

Adakah juga mereka tidak percaya kepada Tun Mahathir dalam menunaikan janji persefahaman itu?

Jika Tun Mahathir yang tidak dipercayai, mampukah beliau seorang diri menolak persefahaman dan permuafakatan tersebut?

Ataukah mereka tidak percaya lagi kepada DAP dan Amanah untuk berpegang kepada persefahaman itu?

Mungkinkah pula ia semata-mata bahan kempen kem Rafizi Ramli untuk memenangi pertandingan jawatan timbalan presiden PKR menentang Azmin Ali?

Namun, adakah sesuatu yang sihat jika Rafizi membenarkan perkara itu berlaku dan berterusan sedangkan dalam masa yang sama beliau telah mencemarkan nama  baik Tun Mahathir, Tun Daim Zainuddin, Anwar dan Azmin sendiri?

Rafizi seharusnya bertanding dengan cara yang sihat dan tidak dengan menjual nama Tun Mahathir, Tun Daim dan Anwar atau mengaitkan Azmin dengan komplot yang sebenarnya tidak wujud.

Beliau sewajarnya menawarkan diri dan ideanya sebagai pertimbangan untuk ahli-ahli PKR memilihnya sebagai pemimpin untuk bersaing dengan Azmin bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR.

Menggunakan isu Anwar serta menjual nama Tun Mahathir dan Tun Daim langsung tidak relevan kerana soal perlantikan Perdana Menteri ke-8 sebenarnya sudah pun selesai dan dimuktamadkan melalui Pakatan Harapan sebelum pilihanraya 9 Mei lagi.

Cuma yang harus difahami, sebaik saja Pakatan Harapan menang dan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, ruang masa secukupnya mesti diberikan kepada Pengerusi Pakatan Harapan itu untuk mentadbir negara dalam tempoh waktu yang munasabah bagi merealisasikan janji memulihkan ekonomi dan menyelamatkan negara yang dirosakkan akibat kepimpinan kleptokrat Najib Razak sebelum ini.

Ruang masa itu boleh jadi dua tahun, tiga tahun atau lebih daripada itu. Ia terpulang kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan yang mana Anwar beserta Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah antara anggota majlis tersebut.

Tapi, tentulah tidak munasabah, malah akan menjadi bahan ketawa dunia jika sekiranya Tun Mahathir hanya menjadi Perdana Menteri bagi tempoh kurang dua tahun atau setahun atau enam bulan dan kemudian terus menyerahkannya kepada Anwar kerana tidak banyak pembaharuan yang dapat dilakukan dalam tempoh sesingkat itu.

Tempoh dua tahun dan kurang juga barangkali tidak cukup untuk memberi kepuasan kepada Dr. Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam menabur khidmat baktinya kepada rakyat setelah menjadi Presiden PKR demi menjulang perjuangan Anwar selama kira-kira 20 tahun sebelum ini.

Dalam ini, Anwar juga harus menghargai pengorbanan Dr. Wan Azizah yang mana sifat sabar dan sedia berkorbannya tidak banyak dimiliki oleh isteri-isteri lain dengan turut memberi masa yang munasabah untuk isterinya itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri selama mungkin yang boleh.

Oleh yang demikian, semua pihak, termasuk kem Rafizi dan Anwar sendiri, sebaik-baiknya haruslah 'alun-alun', banyak bersabar dan lebih memahami realiti sebelum tergesa-gesa mahu mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir. (ShahbudinHusin 16/08/2018)

No comments: